Sabtu, 21 April 2012

mati lagi

Hari ini 3 orang pesakit yang aku terlibat secara langsung, mati. Dua mati depan mata dan seorang mati masa aku tiada.

Pesakit yang pertama seorang lelaki bangsa afrika sudan berusia 45 tahun dan diserang penyakit jantung. Aku dipanggil ke hospital untuk memasang balloon pump sebaik saja aku duduk berehat menonton tv dirumah dan dlm jangka masa 10 minit aku sudah tiba dihospital. Sebaik saja aku selesai membuat persiapan balloon pump, jantung pesakit terhenti secara tiba-tiba dan jururawat dan doktor berganti-ganti melakukan cpr. Setelah diberi cardiogenic shock, jantungnya berdegup semula dan dgn segera kami memasukkan balloon chateter. Ketika sedang di cpr, seorang doktor wanita arab dengan selambanya telah memberitahu kepada keluarga pesakit bahawa ayah mereka mungkin akan meninggal dunia. Lalu anak2 perempuan simati menangis dengan menjerit sekuat-kuat hati hingga meremang bulu roma aku mendengar. Ianya macam kerasukan histeria dari seorang ke seorang. Mmg hiba dan dahsyat tangisan mereka itu malah ada yang pengsan. Keadaan menjadi hiruk pikuk seketika. Rupa-rupanya itu memang budaya afrika sudan.

Pesakit yang kedua seorang lelaki Nepal yang berusia 27 tahun. Aorta pembuluh jantungnya membengkak dan sudah mahu pecah. Sewaktu aku sedang menyelesaikan tugas di cicu itu, aku dipanggil ke dewan bedah untuk satu kes kecemasan. Seberapa pantas aku berusaha menyediakan kelengkapan dan persiapan bypass dan sebaik saja aku selesai, pesakit pun dibawa masuk ke dewan bedah. Malangnya persiapan pembedahan mengambil masa yang agak lama. Untuk memposisikan pesakit saja sudah mengambil masa 20 minit. Entah macamana, sewaktu sedang diposisikan dengan posisi mengereng kerana pembedahan perlu dilakukan dlm posisi itu, pembuluh darah itu pecah. Maka tekanan darah semakin rendah dan untuk memulakan pembedahan, pesakit belum lagi diposisikan dgn tepat dan belum dibersihkan. Maka kami semua bertungkus lumus membuat apa yang patut dilakukan ketika pesakit itu mati.

Aku pulang ke rumah dlm keadaan yang mengantuk dan penat tetapi belum sempat aku tidur, satu lagi panggilan kecemasan. Kes yang sama juga cuma di hospital berlainan. Maka berlarilah aku ke hospital dan sewaktu aku sedang termengah-mengah menukar pakaian dewab bedah, panggilan telefon yang ku terima mengatakan pesakit sudah pun mati.

Aku tidak kuat untuk mengatakan yang aku meminati tugas ini lantaran aku punya minat dibidang yang berbeza. Tapi aku terima tugas ini dengan besar hati dan lapang dada lantaran inilah tugas yang diberikan kepada aku meskipun aku punya peluang untuk bekerja dibidang lain. Tugas inilah yang direzekikan kepada ku lalu aku bekerja sepenuh hati ku sekadar kemampuan ku. Inilah tugas yang ALLAH bagi kepada ku. Bukan duit atau penghormatan yang aku kejar, hanya melaksanakan tugas. Bila aku ditanya kenapa aku bekerja dengan kerja seperti ini, tanpa malu aku menjawab, aku bekerja kerana ALLAH.

Sabtu, 7 April 2012

Baby Norwood

Ini adalah Kes pembedahan jantung untuk bayi yang terlalu komplikated. Bayi ini mengalami kecacatan jantung yang banyak sehingga ia terpaksa menjalani pembedahan Norwood Procedure. Akibat komplikasi selepas pembedahan, bayi berusia 9 hari ini terpaksa diletakkan dibawah mesin ECMO atau mesin jantung yg boleh bertahan lebih dari seminggu. Maka dengan penuh dedikasi dan bersemangat, aku menjaga mesin ini siang dan malam. Penatnya.


Aku menulis ni pun nak hilangkan ngantuk dan nak test application android yg baru aku beli. Nasib baik boleh pakai.


Sekian, terima kasih.


Ahad, 18 Mac 2012

terima kasih

melawat-lawat blog org lain, nampak beza sangat dengan blog buruk aku ni. Blog org lain nampak glamer, ada bling2, banyak gambar, cantik, banyak gadget dan apllication canggih, ayat-ayat power dan cerita-cerita menarik. Aku pun banyak cerita menarik. kisah hidup aku sebenarnya amat dahsyat, ngeri, berwarna warni, bersemangat tapi amat-amat menarik. Lagi best dari cerita-cerita diaorang tu.

Tapi...

malangnya, aku tak tergamak nak menuliskannya. Kalau berbayar sekalipun, aku tak mampu untuk menuliskannya.Apatah lagi nak ditampalkan gambar peristiwa itu dan ini. Tak mampu aku lakukan sedangkan mmg aku mampu sangat buat. Setakat nak menulis kisah menarik dengan gambar-gambar hebat, banyak aku ada.

Hanya...

Aku malas dan memang tak suka, tak suka.....aku mahu bersendiri dalam ramai dan ramai dalam bersendiri. Aku bukan mahu glamer atau menunjuk hebat. sekadar berkongsi ilmu dan terima kasih pada semua yang sudi membaca blog buruk ini.

Ahad, 11 Mac 2012

illuminati

Empat belas tahun lepas, aku terserempak dengan beberapa ayat al quran yang mengatakan bahawa dunia ini adalah tempat senda gurau, tipu daya dan main-mainan. Aku tak ingat ayat mana dan surah apa, tetapi intipatinya itu tetap ku ingat lalu aku mencari maksud ayat tersebut. Terkejut aku dengan pernyataan itu sedangkan dunia ini adalah serius dan penuh dengan perjuangan. Setelah berbelas tahun mencari dan belajar dengan pelbagai cara, akhirnya aku memahami (setakat yang diberi), bahawa segala usaha dan tenaga dalam hidup ini tidak bermakna kalau tidak dari ALLAH, dengan ALLAH kepada ALLAH. Dalilnya, dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali. Frasa simple tapi jauh, halus dan dalam maksudnya.

Dari pengajian yang berteraskan pengalaman, pemerhatian, pemikiran, pembacaan dan pembelajaran, aku menemui sebuah organisasi manusia yang dinamakan illuminati. sepanjang proses pencarian itu, aku mengetahui bahawa syaitan yang diketuai oleh Iblis, adalah sebuah organisasi yang amat canggih, sofiskated dan hebat jika dibandingkan dengan kehidupan manusia. teknologi manusia tidak akan mampu mengalahkan teknologi syaitan ini. Tujuannya adalah untuk menipu dan membawa manusia ke jalan yang salah.

Lalu organisasi syaitan telah menubuhkan satu organisasi payung iaitu illuminati yang menjadi teras kepada penipuan dan penguasaan mereka kepada manusia melalui pendidikan, pemikiran, sosial dan kekuasaan politik. Organisasi Illuminati telah menjadi kuasa dunia sejak dari zaman kebangkitan mereka bermula dari tahun 1800 dahulu. merekalah yang memerintah dunia sebelah gelap. mereka inilah wali-wali syaitan yang tidak diketahui siapa orangnya.

ALLAH yang Maha bijaksana, mengimbangi keadaan dengan mewujudkan wali-wali ALLAH untuk menentang sinar kegelapan yang dibawa oleh kelompok itu. Dan wali-wali ALLAH ini juga tidak dikenali siapa orangnya melainkan dikenal dengan perlakuan dan akhlaknya sahaja.

Justeru itu, manusia boleh tertipu dengan mudahnya apabila ada perasaan taksub dan takjub dengan sesuatu perkara waima apabila mengenal ALLAH sekalipun, lantaran tipu daya yang dilakukan oleh syaitan manusia dan syaitan jin amat licik dan halus. Tak terlawan manusia ini dengan segala perkara tersebut melainkan atas peliharaan ALLAH semata-mata.


wallahualambissawab

Jumaat, 10 Februari 2012

Kematian terindah


Aku menganggap kematian sebagai suatu fitrah atau kebiasaan yang wajib dilalui oleh semua makhluk. Kematian adalah seperti sebuah pintu kepada dimensi atau alam yang lebih nyata dan panjang. Justeru itu, aku telah membiasakan diri dengan kematian dan menyiapkan diri serta hati untuk berdepan dengan kematian ku sendiri.

Setakat hidup ku ini, aku telah membantu menyempurnakan 4 buah kematian sebagai penggali kubur, penyambut mayat, pemandi mayat dan pengendali jenazah. Aku juga telah berdepan dengan banyak kematian pesakit-pesakit ku dan juga makhluk-makhluk yang lain.

Kali pertama aku mengurus jenazah adalah sewaktu aku berusia 21 tahun. Aku telah diajak menggali kubur kepada seorrang jenazah wanita tua yang tidak aku kenali. Kami menggali lubang kubur tersebut dan ianya bertakung dengan air walaupun dalam keadaan berbatu. Ianya tidak menghairankan aku kerana ketika itu jiwa ku penuh dengan keinginan adventure dan kelainan. Ketika kami sibuk menggali, jenazah telah pun tiba dan jemaah di atas menyuruh kami terus menyambut mayat, Itulah kali pertama aku menyambut mayat diliang lahat.

Jenazah kedua yang ku kebumikan adalah arwah Pak Mertua ku sendiri. Sewaktu beliau sedang sakit akibat Chronic Heart Failure ataupun jantung takde Harapan, arwah tinggal dirumahku dan aku  sedaya upaya menguruskan arwah sewaktu dia terlantar di hospital tempat aku bekerja. Aku merasa begitu lemah dan tidak berdaya lantaran aku bertugas di bidang pembedahan jantung akan tetapi sakit jantung mertua ku sendiri, tak dapat ku bantu lantaran, arwah hanya boleh diselamatkan dengan penukaran jantung dan ketika itu, transplant jantung masih baru di Malaysia dan hanya boleh dilakukan di IJN. Arwah, ku dapati meninggal dunia dipagi hari jumaat ketika aku sedang bersiap untuk pergi bekerja dan melakukan pintasan jantung manusia lain.  Itulah kali pertama aku berdepan dengan kematian secara berdepan, saudara terdekat ku selain dari arwah pakcik ku di usia 14 tahun dahulu.

Aku mengambil cuti kecemasan dan mengurus jenazah dari memandikan, mengapan, membawa pulang ke kampung dan memasukkannya ke liang lahat. Satu perkara yang menggembirakan aku ketika itu adalah jenazah mertua ku disolatkan oleh ramai jemaah masjid selepas solat jumaat lantaran sebaik saja tamat solat jumaat, hujan turun dengan selebat-lebatnya yang membuatkan ramai jemaah terperangkap dan tidak dapat keluar. Aku belajar merasai sendiri tentang adat bidaah kematian yang membawa kepada pemberontakan jiwa berkaitan kenduri arwah. Selama 10 tahun aku tidak  makan makanan kenduri arwah lantaran aku menganggap ianya sebagai sesuatu yang tidak wajar dan memakan harta anak yatim. Bagaimana mungkin kita boleh makan dengan sedap dan nikmat disaat keluarga arwah sedang berdukacita dengan kehilangan orang yang dikasihi mereka. Itulah pendapat ku ketika itu.

Jenazah yang ketiga adalah jenazah pakcik ku. Aku ikut membantu memandi dan mengapankan jenazahnya lalu terjun ke liang lahat untuk menyambutnya. Kemudian, sewaktu kenduri arwah pakcik ku itu, aku menahan diri dari makan makanan kenduri arwah meskipun dijamu dengan hidangan yang lazat dan menyelerakan. Apabila makcik ku  mengatakan yang dia kecil hati sekiranya aku tidak menjamah hidangan lantaran kami sendiri yang berhempas pulas memasaknya, maka aku mengubah prinsip ku. Yang pergi tak boleh nak makan, maka yang hidup boleh makan. Makan sajalah…lalu aku makan sepuas-puasnya. Sejak itu, aku akan makan seenak-enaknya segala makanan kenduri arwah yang disajikan atas alasan kasihan pada tuan rumah yang bertungkus lumus menyediakan hidangan. Sekurang-kurangnya, makanan yang ku makan itu mudah-mudahan mendatangkan pahala kepada arwah lantaran aku ini orang yang berzikir.

Jenazah keempat adalah arwah nenek ku iaitu mak kepada bapak ku. Nenek ku adalah seorang yang waraq dan solehah meskipun beliau bukan seorang yang alim. Arwah akan mengamalkan apa saja yang dipelajarinya berkaitan ibadat dan istiqamah dengannya sehingga akhir hayatnya. Itulah sebaik-baik ibadat dan amalan. Aku ikut membantu mengurus jenazah dan sewaktu menyambut jenazahnya ke liang lahat, aku memegang bahagian kepala. Aku yang membuka ikatan kapan di mukanya dan mengenakan wajahnya dengan tanah. Sewaktu itu aku berbisik kepada nya, ‘Atok, inilah tempat rehat yang sebenarnya. Semoga atok mendapat tempat rehat yang lapang dan bercahaya.’

Ramai pesakit yang mati dihadapan ku dalam keadaan berdarah atau pun tidak. Aku sudah tidak menghitungnya lagi lantaran ianya sudah menjadi perkara biasa dalam karier dan hidup ku. Pernah seorang pesakit mati betul-betul ditelapak jari ku sewaktu aku sedang membuat CPR ke atasnya. Sedang aku asyik  berCPR, cardiologist menyuruh aku berhenti dan mengatakan pesakit sudah mati. ‘let him go’ katanya. Aku pun turun dari katil, membasuh tangan dan keluar makan tengahari dengan lazatnya. Maklumlah lapar sebab baru lepas kerja berat. Aku masih ingat lauk makan tengahari itu iaitu ikan kembung goring, sambal belacan, kangkung goring belacan dan kuah asam pedas. Memang aku makan tak menoleh dan tak teringat pun pasal kematian yang baru sebentar tadi aku lihat.

Kematian adalah perkara biasa yang tidak perlu ditakuti tetapi perlu dibuat persiapan. Malah aku pernah mencuba untuk merasa mencari pintu kematian seperti terjun paracut, melompat dari pokok yang tinggi, terjun di air terjun yang tinggi dan menghisap rokok (masih kekal sebagai satu jalan). Rasanya adalah ‘adrenaline rush’ yang mengecutkan perut. Sewaktu pintu kematian dibuka, kita akan rasa kecut dan sejuk kerana kita akan masuk ke sebuah tempat baru. Ibarat ketika aku mahu berhijrah ke Qatar ini dengan meninggalkan keluarga dan memulakan hidup baru dengan persekitaran baru, ianya mengecutkan perut dengan cabaran yang tidak ku duga.

Justeru itu, sejak aku mula mengenal kematian, aku berusaha untuk mencapai sebuah kematian yang indah untuk ku. Kematian yang membawa kegembiraan kepada diriku meskipun membawa kesedihan kepada keluarga ku. Keluargaku itu sendiri akan berdepan dengan kematian masing-masing. Ketika itu tiada siapa yang berada disamping walau ibu atau isteri yang amat menyayangi ku sekalipun, tidak dapat ikut serta. Kita akan ke liang lahat dalam keadaan berseorangan.

Makanya, aku mula berlatih untuk berseorangan. Aku mencari perlindungan dan kekuatan jiwa ketika berseorangan dan ketika ketakutan. Aku mendapat inspirasi dari al quran iaitu dari surah Al ikhlas, An Naas dan Al falaq. Lantas aku memegang kuat iktikad bahawa LAA ILAHA ILLALLAH dengan sefahamnya dan keyakinannya, akan membawa kepada kematian terindah tidak kiralah apa jua perbuatan ku di dunia ini.
   
Aku bercita-cita untuk menjadi seorang penggali kubur sekiranya masih kuat atau pengurus jenazah sebaik sahaja hutang-hutang ku diselesaikan dan aku menjadi seorang lelaki yang bebas merdeka. Setidak-tidaknya, aku dapat dekat dengan kematian dan membantu manusia lain. Aku juga dapat berseorangan dalam masyarakat dan dapat bermasyarakat dalam berseorangan.

Carilah jalan untuk faham dengan sefaham-fahamnya dan yakin dengan seyakin-yakinnya, kalimah keramat LAA ILAHA ILLALLAH. Jadikanlah ia, objektif hidup baru anda.



Rabu, 8 Februari 2012

Janji yang belum tertunai

Maaf kepada sahabat ku Federa Aizam atas tertangguhnya cerita Nabi Ibrahim versi aku. Kisah-kisahnya sudah ku karang bertahun lamanya tetapi masih lompang di sana sini. aku masih meneruskan kajian untuk mengisi kelompangan dalam timeline hayatnya. Juga untuk menngarang ayat yang bombastik dalam menceritakan kisahnya supaya ianya akan kekal dalam hati kepada sesiapa yang membacanya.

Maaf sekali lagi. Hanya dengan izin ALLAH, segala-galanya akan berlaku. Kalau belum berlaku tu, maksudnya belum dapat restu lagilah....

Isnin, 30 Januari 2012

Sesekali menjengah

Lama benar saya tidak mempedulikan blog ini. Menjengah seakan menyampah pula. Walhal, dulu blog ini adalah kebanggaan dan tempat luahan perasaan. Terasa sekarang seperti tidak ada apa yang perlu diluahkan. Tidak ada apa yang perlu dikomenkan dan tidak ada sesuatu pun yang perlu dikomplen. Hidup sudah penuh dan cukup hanya dengan menyebut ALLAH saja dihati sebanyak-banyaknya.

Susah atau senang, kaya atau miskin, sihat atau sakit, lapang atau sempit, sibuk atau senggang, tua atau muda, malah hidup atau mati sekalipun, tidak lah menjadi keluh kesah atau gembiranya hati ini. Perasaan menjadi neutral dan tenang.

Apa yang tertulis dan terkalam, maka itulah yang tersirat dalam hati. Biarlah aku dengan dunia ku, mengembara sepuas-puasnya dialam rohani yang tiada bertepi dan tiada penghujung. terapung-apung antara langit dan bumi, darat dan laut, syurga dan neraka, baik dan jahat....tidak ku kirakan.....kerana nasib mu dan nasib ku tidak akan pernah sama......