Rabu, 16 Disember 2009

cerita hantu 2

Sambungan kisah Kapt john Pusasda

Tiba-tiba sahaja saya terjaga dari tidur seperti dikejutkan oleh sesuatu. Saya membuka mata yang mendadak tidak mengantuk lagi. Lampu di koridor bahagian hadapan masih terpasang, manakala di koridor belakang, gelap. Saya menjengok jam di dinding (hadiah sumbangan rekrut2 yg pernah menginap disitu) dan ia menunjukkan pukul 0100 pagi. Semua rakan-rakan saya telah tidur dengan lena. Dengkuran mereka, ada yang halus, ada yang kasar, ada yang terlopong, bertelingkuh sesama mereka.

Saya cuba melelapkan mata semula tetapi keadaan tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Sangat sepi dan dengkuran sudah tidak kedengaran lagi. Apa yang terfikir dihati saya ketika itu, keadaan sunyi seperti itu, kalau jarum jatuh pun boleh dengar. Kenapa boleh senyap seperti itu.

Tiba-tiba, terdengar bunyi burung layang-layang bercicit, bersahut-sahutan sesama mereka dari atas bumbung. Memang, dua tiga hari sebelum ini, kami ternampak banyak burung layang-layang bersarang di atas rongga bumbung berek tetapi, tidak ada seketul pun tahinya yang jatuh menimpa lantai berek. Bunyi cicitan burung-burung itu meresahkan hati dan sekaligus menaikkan bulu roma tengkuk.

Beberapa minit selepas itu, burung-burung itu berhenti bercicit secara mendadak. Terdengar pula bunyi kucing mengeow-ngeow di luar koridor. Ngeowannya itu seperti kucing yang sedang mengiringi tuannya ke dapur untuk diberi makan. Hairan sungguh saya, selepas burung, kucing pula. Seperti burung tadi, bunyi ngeowan kucing tersebut berhenti mendadak.

Saya merasa lega dalam resah dan berusaha untuk tidur. Tubuh terasa sangat letih tetapi mata tidak mengantuk. Di saat mata sudah mula mengantuk, dan fikiran sudah mula melayang, dia datang. Kedatangannya itu dalam bentuk bunyi kasut kawad yang berlekak-lekuk di atas simen.

Keletak...keletuk...keletak...keletuk..

langkahnya, satu satu. Perlahan dan konsisten. Seperti pegawai yang sedang memeriksa berek. Pada mulanya, saya menyangka ianya adalah langkah Pegawai Bertugas yang memeriksa berek kami. Tetapi apabila saya terfikir, DO (duty officer) atau pegawai bertugas, tidak akan memakai kasut kawad di malam hari, serta merta bulu tengkuk saya meremang, tubuh saya menggigil dan perut saya kecut.

Kemudian, saya terdengar bunyi batuk yang kuat dan menyeramkan lalu diiringi dengan bunyi tongkat pegawai yang diseret ke dinding. Bunyi batuk itu bergema dan tubuh saya terkejang akibat terkejut dengan bunyi itu. Langkahnya diteruskan sehingga ke depan pintu berek yang memang dikunci. Dia berhenti di depan pintu berek dan menggegar pintu tersebut seperti memeriksa samada ianya dikunci atau tidak. Gegaran itu sungguh kuat seperti mahu roboh pintu tersebut.

Ada 4 pintu utama di berek kami. 2 di koridor depan, 2 dikoridor belakang. untuk pergi ke pintu koridor belakang, perlu masuk ke dalam berek kerana ianya tidak dihubungkan dengan tangga. Dia berjalan lagi sambil menyeret tongkat ke dinding menuju ke pintu belakang korodor hadapan. Sekali lagi pintu digegar.

Yang paling mengejutkan saya adalah dia menggegar pintu belakang koridor belakang. Bagaimana dia boleh ke sana tanpa masuk ke dalam berek.Sudah pastinya dia boleh terbang. apa yang terfikir di kepala saya, 'Sah! Inilah Kapt John yg dimaksudkan oleh Encik Noordin malam tadi'.

Debaran saya semakin laju apabila dia menuju ke pintu hadapan koridor belakang. Pintu yang berada di sebelah kanan katil saya. Katil saya memang bersebelahan dengan pintu.

Kali ini, dia menggegar pintu itu dengan kuat sekali. Sambil itu dia bersuara seperti marah kepada saya kerana masih tidak tidur lagi. Suaranya itu tidak jelas kedengaran buah butirnya kerana ia bergema tetapi masih boleh ditelah bahasa Inggeris dengan loghat Scotland atau Australia.

Tiba-tiba dia menjerit sambil menendang pintu. Jeritannya menghentikan seketika denyutan jantung saya. pintu terbuka luas dan dia melangkah masuk.

sambung lain kali...saya dah seram sejuk pulak menulis cite ni...