Saya teruja untuk menulis mengenai frasa di atas apabila terbaca sebuah blog yang menggunakan frasa itu sebagai salah satu intipati ceritanya. Kemudian, apabila penulis tersebut mula membidas saudara-saudaranya yang lain, segera saya terkenang secebis pengalaman benar mengenai frasa itu. Ternyata, watak sipenulis itu dengan watak sipenyampai frasa itu kepada saya, lebih kurang sama. Yang nyatanya, sayalah yang beruntung apabila mendapat ilmu secara luar sedar dan hanya tersedar apabila saya menghalusi peristiwa tersebut.
Pada satu ketika, saya mendaki Gunung Ledang bersama seorang sahabat setia, Brader Ahmad Quzazi(Cik Quz) dengan satu tujuan. Di warung yang terdapat di kaki gunung tersebut, kami telah terserempak dengan dua orang lelaki, seorang tua dan yang seorang lagi dalam usia 40an, baru saja turun dari kenderaan dan memesan makanan dari warung tersebut seperti kami juga. Kami gembira kerana bertemu dengan teman seperjalanan.
Lelaki berusia 40an itu berwajah sombong dan kurang mesra (kita namakan dia brader kerek) manakala pakcik yang seorang lagi terlebih ramah. Rupa-rupanya, brader kerek berasal dari Indonesia dan bertugas sebagai kelasi kapal yang mana kapalnya sedang berlabuh di Melaka ketika itu. Untuk memenuhkan cutinya, dia bercadang untuk mendaki Gunung Ledang dengan ditemani oleh pakcik Amat (saya tidak bertanya namanya dan biarlah saya gunakan nama itu sebagai samaran) sebagai penunjuk jalan. Brader Kerek itu bersalam dengan saya dengan genggaman yang kuat dan kejap. Saya mendapati genggaman itu bukan genggaman biasa. Ianya berniat menguji ilmu kebatinan atau memang tangannya terlebih perkasa. Saya tidak melawan atau membalas. Saya tidak ada niat langsung untuk menduga atau beradu ilmu disitu. Saya tidak punya apa-apa ilmu kebatinan. Anugerah ALLAH ke atas saya adalah dapat mengesan sesuatu yang berbeza melalui rasa hati sahaja. Saya tidak mahu mencari musuh dan kedatangan saya ke sana adalah dengan nama ALLAH dan izin Nya.
Pakcik Amat mendakwa, dia tinggal di atas Gunung Ledang dan mempunyai sebuah rumah berhampiran kemuncak gunung. Saya menjadi kagum dan sangsi dengan pakcik itu. Saya kagum dengan kehebatannya yang mempunyai wang yang banyak sehingga mampu untuk membina rumah di kemuncak gunung Ledang dan ketinggian ilmunya lantaran Gunung Ledang bukan gunung biasa. Saya sangsi berkenaan ilmunya kerana saya tidak mendapati ciri-ciri kewaraqan daripada gaya bahasa dan cerita-ceritanya. Pada telahan saya, dia mungkin seorang bomoh yang bersahabat dengan jin. Saya kurang melayan pakcik Amat apabila mendapati perbualannya ‘kurang isi’. Cik Quz saja yang beriya-iya melayan dan bertanya itu ini.
Gunung Ledang adalah gunung kerohanian, spiritual dan mistik. Ianya dijaga dan dihuni oleh pelbagai jenis jin sejak zaman dahulu lagi. Justeru itu, saya tidak hairan dengan kisah-kisah aneh dan pelik yang berlaku di sana. Ianya juga merupakan tempat latihan penuntut-penuntut ilmu-ilmu kerohanian, kebatinan, perbomohan, ketenteraan dan jin, menjalani latihan praktikal serta teori. Ibarat sebuah pusat latihan tentera, pastinya displin, etika dan tingkah laku perlu dijaga dengan lebih ketat. Sebarang ‘misconduct’, akan dihukum dan didisplinkan, ketika itu juga.
Setelah berbasa-basi, kami berpisah. Saya dan Cik Quz memulakan perjalanan mendaki terlebih dahulu. Objektif kami hanya perlu sampai di kolam Puteri sahaja kerana disitulah tujuan kami tetapi kami bersepakat dan berminat untuk naik sehingga kemuncak sekiranya keadaan mengizinkan. Kerana itulah, Pakcik Amat dan brader kerek seperti satu rahmat yang tidak diduga. Sekiranya mereka mahu naik sehingga ke kemuncak, maka kami akan menyusup dan mengekori mereka atau meminta izin mereka untuk turut serta.
Di tengah-tengah perjalanan, Cik Quz telah terlepas cakap tentang berapa perkara. Segera saya mengingatkan Cik Quz agar berlaku sopan dalam tutur kata kerana saya dapat mengesan begitu ramai makhluk yang memerhatikan perjalanan kami itu. Kami mendahului mereka setengah jam lebih awal dan akhirnya, sampailah kami ke tempat tujuan. Setelah melaksanakan tujuan dan objektif di situ, kami pun terjunlah ke dalam kolam puteri yang sejuk itu.
Ketika kami sedang mandi, Pakcik Amat dan Brader Kerek tiba ke kawasan tersebut. Brader Kerek terus mengambil wuduk dan bersolat. Sebelum itu, saya dan Cik Quz bertukar pendapat samada mahu solat atau mandi dahulu. Saya mengemukakan cadangan agar mandi dahulu kemudian baru bersolat kerana tubuh sudah berpeluh dan adalah lebih afdal untuk bersolat dalam keadaan yang bersih dan segar. Syor saya itu diterima oleh Cik Quz dan kami pun mandi dahulu, kemudian baru solat.
Sedang kami bersolat, Brader Kerek turun mandi. Tidak lama kemudian, dia selesai dan datang kepada kami untuk berbual. Kali ini dia lebih ramah. Cerita pertamanya adalah mengapa dia solat dahulu baru mandi dan membidas kami secara halus tentang perkara solat tadi. Seperti tahu-tahu saja apa yang tersirat dihati kami. Setelah menyatakan pendapat saya dalam hal itu, saya mendiamkan diri saja atas hujah-hujahnya. Saya tidak mahu perkara itu menjadi satu hal besar pula sedangkan masing-masing sudah dan tetap mengerjakan solat walau apa pun keadaan dan masanya. Masing-masing punya personaliti, pendapat, pengalaman dan tahap keilmuan. Adalah lebih baik bertolak ansur dan berlapang dada dengan pendapat serta hujah.
Dari situ saya mula membuat penilaian tentang Brader Kerek. Saya mengecopnya sebagai angkuh dan memandang rendah kepada kami. Seorang yang berilmu tasauf, sepanjang pergaulan dan pengalaman saya, tidak akan mempersoal dan merendah-rendahkan saudaranya. Mereka memandang semua manusia sama sahaja. Tiada kesombongan dan tidak suka membidas. Kebanyakan mereka menasihat dengan penuh hikmah dan beribarat untuk memudahkan pemahaman. Brader Kerek memang tinggi ilmu tetapi cetek hikmah.
Dari satu cerita ke satu cerita. Brader Kerek memang padat isi dan pengalaman. Dia menceritakan bagaimana isteri kedua dan 3 orang anaknya, lenyap dilanda tsunami di Acheh. Cerita-ceritanya cukup padat dan berisi meskipun begitu masih ada nada angkuh dalam kata-katanya. Saya menganalisis intipati kata-katanya. Antara ilmu yang saya dapat daripadanya
1. Kebahagiaan ada pada keampunan dan keredhaan dari ibu bapa
2. Duit adalah alat dan bukan tujuan hidup
3. Setiap bala bencana yang menimpa adalah dari kebodohan diri sendiri
4. Manusia yang didatangkan dihadapan kita adalah ibarat cermin untuk melihat diri kita
5. Diri sendiri adalah guru yang terbaik
Kesemua intipati ilmu yang dinyatakannya telah saya ketahui kecuali tentang diri sendiri sebagai guru. Sepanjang perjalanan mencari diri saya ini, dialah orang pertama yang mengatakan perkara itu. Mungkin ada juga yang pernah menyebutnya kepada saya dan saya terlupa mengenainya tetapi dari mulut Brader Kerek inilah, ungkapan itu lekat dihati saya.
Ketika dia mengatakan ungkapan tersebut hati saya tidak dapat menerimanya. Sombong dan angkuh sekali pernyataan itu. Pada hemat saya, ALLAH lah guru yang terbaik dalam memimpin dan mengajar manusia untuk menuju kepada Nya dalam keadaan direct atau indirect. ALLAH mengajar dengan limpahan kasih sayangnya dengan menurunkan manusia-manusia pilihan dan kesayangan Nya seperti Nabi-nabi, ulamak-ulamak, guru-guru sufi, orang-orang soleh dan waraq. Pada mereka ada ilmu hati dan ilmu untuk menerangkan keadaan diri sendiri lantaran kita tidak dapat melihat diri sendiri.
Saya menahan diri dari membantah. Saya mendiamkan diri dan membiarkan dia meneruskan ceritanya. Tetapi apabila dia tersilap dalam mentafsir surah Al Insyiirah, surah favourite saya, saya tidak dapat menahan mulut lagi. Pantas saya membetulkannya dan alangkah takjubnya saya, dia tidak mempercayai tafsiran saya itu dan mengatakan dia yang benar. Ketika itu, saya terlihat diri saya sendiri.
Begitulah saya rupanya. Apabila seseorang mengatakan sesuatu , saya dengan angkuhnya, menganalisis, menolak, mengecop dan melabel sipolan dengan cop mohor besar saya. Siapakah yang angkuh sebenarnya? Dia atau saya?
Meskipun, saya belum lagi diberikan hikmah dari frasa ‘diri sendiri adalah guru yang terbaik itu’, Alhamdulillah, saya belajar mengenai cermin diri. Apabila saya dapat mengesan sesuatu sifat buruk pada diri seseorang dan merasa jelek, muak dan benci dengan keburukannya itu, maka sebenarnya, sifat itu ada pada saya. Sifat buruk yang tiada pada diri adalah apabila kita dapat mengesan pada diri orang lain tetapi kita tidak mempunyai apa-apa perasaan atas sifat itu. Ibarat jauhari mengenal manikam. Siapa lagi yang dapat membenci si sombong melainkan yang paling sombong diantara mereka.
Saya selalu dapat mengesan sifat buruk atau sombong pada orang lain. Ada ketika saya buat x endah dan ada yang ketikanya saya jadi benci pada sifat orang itu pada tahap yang agak ekstrem. Mungkin itu ada pada diri saya, sekarang baru saya percaya setelah membaca pengalaman sedara. Terima kasih kerana menceritakan pengalaman sedara itu.
BalasPadamSalam..btui jugak la cite tuan nie..terase insaf gak ble bc..so lps nie klu ngk perangai org len dan tetibe rs nk ngumpat elok simpan je la..
BalasPadamSalam..bagi saya, saya suka kategorikan diri dalam dua situasi..bila diri sebagai pmerhati dan bila diri dimomokkan dengan ego..
BalasPadamDalam hidup kita akan bjumpa dengan pelbagai ragam manusia yang menghiasi perjalanan hidup kita..
Dulu2 saya suke melihat n mbaca gerak geri dan percakapan orang..then sy suke buat agak n membuat rumusan sndri..dia ni jenis yg mcm mana mcm mana mcm mana..kalo bjalan pon, hatta dlm bas ke stesen bas ke, sy suka cuba baca fikiran dan perhatikan org2 sekeliling sy..kalo hidung jenis mcm ni, cane..kalo mulut cani, cane..bentuk muka cani, cane..pastu dia tgh sedih ke, gembira ke, apa yg dia buat hari ni..
Kdg2 bila da lama hidup ni, kita tgk muka org n dia baru ckp sepatah pon kita tau dia ni sorang yg suke blagak, ckp bnyak, ckp besar..kalo bcerita, sume cite psal dia..kalo yg mcm ni, biasanya sy lebih suka duduk dengar n senyum..cite la, sy dengar n iyakan je..bg sy, seorang yg bagos x kan ckp n crita diri dia bagus..tgk dr air muka je pon bleh tau
Tapi bila da berusia, sy da x suka..sbb bila sy tgk gerak geri perbuatan, sy jadi muak n x suka..sy anggap sume hidup dlm kepura puraan..sy slalu pk balik..apa yg dia ni nk buktikan sbnarnya? jadi sy suke jadi org yang x tau pape n dungu..bodo2
Bila jd cam org bodo2, senang kita nk cari gado ngan org..mksud sy counter back..balas2 cakap dia balik dgn main2 dan x serius..anggap benda tu ntah pape n uji dia balik dgn soalan yg sbnarnya kita tau jwpan, kdg2 wpon mmg x tau jwpan pon..main keluar je kot mulut..da mmg sy org x pk pnjang pon da..redah je
Cuma sbb sy muda lagi, sy layankan je sume..yg bleh sy jadikan panduan, sy cedok..yg sy rasa xde input kat situ sy wat cekodok..
Wpun kdg2 sy tak pasti yang mana satu cedok n yg mana satu wat cekodok
Jadi, kesimpulannya..diri sndri guru terbaik?
jauh skali bagi diri ini arakian masih lagi mencari punca dan haluan hidup..
Wassalam.
terima kasih...anda semua juga adalah cermin diri saya...
BalasPadam