Rabu, 14 April 2010

Hidup untuk mati

Hidup untuk Mati

Tiga belas tahun yang lepas, di era ketika minda saya masih lagi dibelenggu dengan irama heavy, hard dan fast metal, dipayungi oleh semangat ketenteraan dan jiwa perwira yang tinggi serta baru berkecimpung dalam bidang pembedahan jantung, satu peristiwa pembuka minda telah berlaku.

Seorang pesakit yang berusia 3 tahun, lelaki, berbangsa cina dan mengalami masalah jantung kongenital yang didiagnosiskan berpenyakit TOF telah dijadualkan untuk satu pembedahan Total Correction pada pagi Isnin. Satu masa yang begitu berat untuk mula bekerja. Apatah lagi, saya baru saja selesai menjalani latihan menembak Pelancar Roket di Asahan, Melaka, pada malam semalamnya, tubuh saya masih lagi terasa letih dan sengal-sengal dengan telinga masih lagi berdengung-dengung dengan letupan.

Budak lelaki Cina yang comel itu sangat aktif dan dia telah berlari sekeliling dewan bedah, mencelah di antara kaki nurse-nurse dan memanjat katil pembedahan lalu meloncat turun sambil ketawa keriangan tanpa rasa malu mahupun risau, seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Keletahnya itu menghiburkan kami dan saya telah menangkapnya lalu cuba untuk membaringkannya di atas meja pembedahan untuk ditidurkan. Dia meronta-ronta dan meminta saya berjanji untuk memberikannya coklat sepanjang sedepa tangannya jika mahu dia diam. Saya berjanji untuk membelikannya dua ketul coklat Cadbury yang besar yang apabila dicantumkan menjadi panjang sepanjang depa tangannya itu, sebaik saja dia sihat semula. Dia bersetuju sambil tersenyum gembira lalu menghulurkan tangannya kepada Pakar Anesthesist untuk dibius dan ditidurkan. Janji saya itu seikhlas hati dan saya berharap supaya pembedahan itu berjaya apatah lagi saya yang bertugas untuk mengambil alih fungsi jantungnya untuk kes itu. Saya masih lagi teringat senyumannya sehingga sekarang.

Dipendekkan cerita, pembedahan itu mengambil masa 24 jam yang bermula pada 9 pagi Isnin dan tamat pada 9 pagi keesokan harinya kerana terlalu banyak komplikasi yang tidak dijangka telah berlaku. Kami berusaha bersungguh-sungguh sehingga keletihan terutamanya saya sehinggakan apabila Pakar Bedah Jantung dan Pakar Anesthesist sudah mati akal dan budak itu tiada harapan lagi, saya merayu kepada boss saya supaya berusaha lagi. Melihatkan rayuan dari saya yang dianggapnya brutal ketika itu, boss saya meneruskan pembaikan sehingga keesokan harinya. Kes itu gagal. Budak lelaki itu mati di meja pembedahan.

Saya merasa begitu keliru ketika itu. Saya merasakan saya telah membunuh seorang kanak-kanak. Saya merasa bersalah yang tidak tahu punca. Berbagai-bagai pertanyaan berselirat di minda dan saya tidak tahu yang mana satu perlu dicari jawapannya terlebih dahulu. Pertanyaan –pertanyaan itu datang bertubi-tubi dan berturut-turut. Ianya benar-benar memeningkan kepala saya.

Saya menenangkan diri dengan mendengar lagu fast metal dari kumpulan ‘Manowar’ sambil terhenjut-henjut ‘head banging’ dan apabila tiba ke liriknya yang berbunyi, ‘I was born to die’, saya tersentak. Saya telah dilahirkan untuk mati! Ketika keadaan minda yang tidak begitu stabil, apatah lagi, ketika itu, saya tidak begitu cenderung kepada Islam, saya menganggap memang benar, kita semua dilahirkan untuk mati. Maka dengan semangat keperwiraan yang tinggi, saya menukar matlamat hidup saya kepada ‘ hidup untuk mati!’, ketika itu juga!.

Tetapi, jiwa saya masih lagi tidak tenang. Untuk mati dalam keadaan yang tidak beriman adalah satu perkara yang menakutkan buat saya. Maka di situlah pencariannya bermula. Mati cara apakah mati yang terbaik? Secara automatik, ilmu di dalam minda separa sedar saya ( Cetusan idea Dr Tuah, masa itu, Dr Tuah belum keluar buku imaginasi cemerlang lagi.) mencadangkan untuk mati syahid. Minda berputar lagi, bukan senang untuk mati syahid. Maka pencarian ditukar kepada bagaimana untuk mati syahid. Saya membuat keputusan untuk mengembara dalam kembara jiwa dan fizikal dengan pelbagai cara. Apa-apa saja yang boleh membawa kepada jawapan, akan saya cuba. Proses pemikiran dan tafakur itu mengambil masa lebih kurang dua bulan. Berbagai pengalaman di tempuh dalam masa saya mencari jawapan itu tetapi ianya masih gagal. Saya masih lagi dalam keadaan keliru.

Jiwa tidak tenang selagi tidak mendapat jawapan yang tepat. Kecenderungan saya kepada dunia telah berkurang sedikit dengan penurunan sebanyak 20%. Saya mula gemar ke masjid. Niatnya untuk menenangkan jiwa. Sehinggalah pada satu waktu, selepas zohor, ketika saya sedang duduk bersandarkan tiang di sebuah masjid di kuala Lumpur ini, seorang lelaki tua berkopiah putih yang tidak saya dikenali, menepuk bahu saya.

“INNA SOLATI WANUSUKI WAMA YAHYA WAMAMATI LILLAHHIROBIL ALAMIN.” Katanya kepada saya sambil tersenyum. Senyuman itu ikhlas. Boleh dirasakan kerana ianya terkesan dalam jiwa saya dalam bentuk derauan. Lelaki tua itu menepuk bahu saya sebanyak 3 kali dalam senyumannya itu lalu beredar.

Saya tergamam sehingga tidak sempat untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada lelaki tua itu. Saya sibuk berfikir mengenai ayat yang disebutkannya kepada saya. Macam pernah ku dengar ayat itu tapi di mana ya? Sebaik saja saya mula terfikir, macamana lelaki itu tahu apa yang bermain di dalam fikiran saya, baru saya sibuk nak bertemu nya semula. Dia sudah hilang sehingga ke hari ini.

Setelah itu, saya sibuk mencari maksud ayat tersebut yang baru saya teringat datangnya dari doa Iftitah yang selalu dibaca pada rakaat pertama. ‘Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk ALLAH, Tuhan sekalian alam.”, dari surah Al An aam ayat 162. Sebaik saja mendapat jawapan ini, matlamat dan prinsip hidup saya sekali lagi bertukar. Penukaran matlamat hidup kali ini, menukarkan terus kecenderungan saya. Ianya adalah yang terhebat dari segala peristiwa atau apa-apa kejayaan yang pernah saya alami.

Jalan untuk menempuhnya lurus dan penuh dengan pelbagai perkara. Ibarat memandu di highway yang banyak persimpangan dan bertemu dengan kemalangan sekiranya tidak berhati-hati. Perlu ada dan tahu banyak perkara untuk memandu di highway, juga perlu ada keyakinan diri untuk berupaya memandu dengan selamat dan yang paling penting, perlu ada matlamat untuk memandu di highway. Jika tidak, segalanya seperti sia-sia sahaja. Saya baru saja menempuh kemalangan di atas highway kehidupan rohani ini tetapi saya tetap meneruskan perjalanan biarpun terhenti seketika.

Hidup ini begitu menyeronokkan biarpun kadangkala ianya pedih dan dahsyat. Saya mampu untuk duduk diam seorang diri dalam bilik yang gelap gelita untuk jangka masa yang lama dan berupaya juga untuk duduk dalam manusia-manusia pelbagai cerita dan watak yang berada sekitar saya. Malah saya tidak terasa cemburu langsung dengan manusia-manusia lain yang lebih berjaya ataupun yang gagal dari segi keduniaan mahupun akhirat. Masing-masing dengan qada dan qadar masing-masing. Dunia ini begitu luas buat saya dan ianya masih lagi berputar. Saya masih lagi berjalan. Cerita masih ada dan masih panjang.

Prinsip hidup seorang samurai adalah ‘hidup untuk mati’. Mereka akan hidup sepuasnya sekadar kemampuan mereka untuk mati. Hidup bagi saya sekarang adalah untuk ALLAH meskipun saya masih belum lagi mencapai tahap sepertimana yang sepatutnya untuk mengaku perkara seperti itu, tetapi itu adalah cita-cita dan matlamat saya. Dalam segala apa hal yang saya buat dari segi kebaikan, maka saya hanya mengharapkan balasan dari ALLAH, tak perlu sibukkan balasan di dunia ini, walaupun saya masih lagi memerlukan duit. Duit juga ALLAH yang bagi. Rezaki, jodoh, ajal dan segala-galanya sudah ditentukan. Yakinlah tentang perkara itu tetapi perlu ada usaha sebagai tanda kehambaan dan kesopanan kepada ALLAH.

Di manakah hujung highway itu? Mati? Kesenangan dunia akhirat? Buka dada, tanya hati.

0 ulasan:

Catat Ulasan