Sejak kecil lagi, saya memang mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Mungkin disebabkan semangat abah mengalir dalam tubuh saya yang ketika itu bertugas sebagai anggota Polis Hutan dan kerap dikerah ke sempadan dan hutan. Abah merupakan salah seorang anggota veteran yang pernah bertempur dengan pengganas komunis dan beberapa orang rakan karibnya telah terkorban dalam berapa siri pertempuran. Saya teringat kisah salah seorang rakannya yang mati ditembak ketika sedang mengunyah timun yang baru diambil dari pokoknya di dalam hutan. Seorang lagi rakannya, mati ditembak selepas beberapa hari bernikah dan beberapa lagi rakannya mati terkena jerangkap samar akibat pendarahan teruk lantaran kelewatan helicopter untuk tiba di kawasan pertempuran. Abah adalah salah seorang pejuang Negara yang tidak dikenali. The Unsung Heroes.
Meskipun begitu, saya lebih meminati arena ketenteraan dari alam kepolisan. Saya lebih gemar pertempuran secara terbuka yang melibatkan taktik dan strategi berkumpulan. Justeru itu, saya mengejar dan mendalami kemahiran asas ketenteraan bermula dari bawah. Dari rekrut, prebet, pegawai kadet dan sehinggalah ke alam pegawai. Sudah takdirnya, saya tidak menceburi bidang ketenteraan yang amat saya minati ini secara professional. Saya ditakdirkan untuk menjadi specialist pembedahan jantung yang jarang-jarang dan sukar dilakukan oleh orang lain. Maka saya memilih untuk kekal dibidang perubatan.
Teringat bidasan seorang kolonel sewaktu saya memohon untuk masuk ke dalam Pasukan Tentera Darat dan khusus ke dalam Regimen Gerak Khas , ‘Kalau setakat nak jadi komando, berlambak calon-calonnya, saya boleh ambik dari PULADA. Tapi kalau bidang seperti kamu ini, yang amat diperlukan oleh Negara dan masyarakat, dimana boleh kamu cari calon dan latihannya? Ada beribu komando di Malaysia ini dan ianya dilatih dan ditambah setiap tahun. Setiap 3 bulan, berpuluh komando tamat latihan. Profesion awak pula setahun setengah latihan, hanya 3 orang sahaja yang lulus, itu pun belum tentu kekal dalam perkhidmatan. Kalau awak memang betul-betul bersemangat patriotik, sememangnya, tugas awak itu sudah cukup bermakna dan berjasa kepada negara. Semangat patriotik bukan hanya di medan perang sahaja.’ Maka saya yang ketika itu masih muda baran, terkesima dengan ayat beliau lalu meurut nasihatnya.
Profesion ini telah membawa saya ke banyak Negara sehinggalah yang terkini, Kuwait. Saya telah ditanya oleh seorang pegawai stor perubatan di hospital Kuwait ini, mengapa saya datang bekerja di Kuwait sedangkan Malaysia adalah sebuah Negara yang sedang membangun dan dipandang tinggi. Lancang saja mulut saya menjawab, ‘I have served my people and I have served my country and I’m proud of it. Now I want to serve my self and my family.’ Terkedu Mr Saif Syiah itu.
Di Kuwait ini, apabila saya menyebut yang saya dari Malaysia, orang-orang arab Kuwait (yang berlagak dengan semua orang di sini) akan terkejut seperti kena karan, ‘ooow ..Malaysie? Malaysie very good!’. Layanan mereka akan berubah serta merta dan kesombongan mereka dikurangkan sedikit. Begitu gahnya nama Malaysia di sini. Daripada rakan-rakan yang biasa mengembara di serata rantau teluk,mereka juga menceritakan bagaimana semua masyarakat arab amat menghormati rakyat Malaysia.
Ketika di tanah air, saya tidak terasa sangat tentang hal ini tetapi apabila sudah bermastautin di rantau orang, saya merasa bangga dan bersyukur menjadi anak Malaysia. Antara perkara yang mereka hormat tentang Malaysia adalah kecemerlangan kerajaannya mentadbir negara, kesopanan budi bahasa rakyatnya dan yang kerap di sebut adalah Tun Mahathir dengan KLCC nya.
Ironinya rakyat Malaysia di dalam negara, sibuk berpencak silat sesama sendiri sedangkan rakyat luar negara begitu menghormati Malaysia. Ada pulak pemimpin politik yang memburuk-burukkan Malaysia di Negara asing dan ramai jugak pemastautin luar yang seperti anti kerajaan. Semuanya tidak kena. Ada saja salah dan kondem mereka. Sedangkan, mereka juga menikmati keistimewaan dan penghormatan seperti saya. Pelik kan, mengutuk Negara sendiri seperti mengutuk mak bapak kita sendiri.
Dari segi akidah, saya mengambil sifat neutral antara sunnah dan syiah meskipun saya adalah pengikut ahlul sunnah wal jamaah lantaran ALLAH jualah yang lebih mengetahui siapa yang lebih benar dan siapa yang lebih bathil. Akan tetapi, sekiranya umat Islam di serang, tidak kiralah samada sunnah atau syiah, tidak kiralah apa fahaman, mazhab, bangsa dan Negara, selagi mereka mengaku yang Tuhan mereka adalah ALLAH dan Nabi Muhammad itu adalah Rasul ALLAH, maka mereka adalah saudara seagama saya dan akan saya pertahan, sokong dan bersekutu dengan mereka dalam peperangan.
Begitulah juga kesetiaan saya pada Negara. Tidak kira apa parti, bangsa dan agama, selagi mereka mengaku cinta dan setia kepada Malaysia, maka mereka akan saya pertahan, sokong dan bersekutu untuk Negara. Kalau apa-apa berlaku kepada Malaysia, saya akan pulang dan berjuang untuknya. Cintailah Negara kita sewaktu ia ada, kerana masa depan, belum pasti ia ada seperti sekarang.
0 ulasan:
Catat Ulasan