Saya baru menonton DVD Ip man 2, kisah guru Kung Fu Wing Chun yang rendah diri dan baik hati lakonan anak Bruce Lee (saya tidak tahu namanya). Dalam babak pertarungan antara Ipman dan seorang boxer British yang angkuh lagi sombong, sarikata English DVD itu menamakan boxer itu sebagai Muhammad. Sedangkan nama gelaran boxer tersebut adalah Twister.
Darah saya menyirap membaca sarikata tersebut. Akal saya mengatakan si penterjemah bahasa cina ke bahasa inggeris itu terlalu jahil mengenai islam dan Sayidina Muhammad. Sekiranya dia sengaja menamakan watak protagonist itu sebagai Muhammad dengan tujuan untuk menghina Nabi Muhammad, akan saya sembelih tengkuknya. Kalau dia tidak sengaja lantaran kejahilannya, mungkin akan saya tampar saja buat pengajaran. Itu mengikut akhlak saya yang sekarang ini konon-kononnya terpengaruh dengan gaya dan stail Sayidina Omar dan Khalid Al walid yang bersemangat wira.Sekiranya mengikut akhlak Sayidina Muhammad, baginda mungkin hanya tersenyum sahaja. Karisma dan Nur yang terpancar di wajahnya sudah cukup untuk melembutkan hati penterjemah keparat itu.
Seketika, saya terfikir, apakah yang membuatkan saya marah. Adakah kerana bencikan kesilapan si penterjemah, perangai kurang ajarnya atau cintanya saya kepada Nabi Muhmammad? Pertanyaan itu menimbulkan satu isu baru pula. Bagaimana pula dengan muslimin sendiri yang menentang sunnah Nabi Muhammad seperti poligami, jemaah tabligh, janggut dan serban serta penyusahan pernikahan.
Ada hakim yang berpendidikan Islam tinggi sehingga ke peringkat ijazah, tergamak menjatuhkan hukuman penjara kepada orang yang berpoligami sedangkan ianya adalah sunnah Nabi yang benar dan hak yang tak dapat disangkal lagi. Biarpun si lelaki itu tidak mencapai sehingga ke akhlak Nabi Muhammad, tetapi apa yang dilakukannya adalah perbuatan Nabi Muhammad. Kalau Nabi tak buat dan tak izinkan, masakan perkara itu dibolehkan. Kalau muslim jahil yang menentangnya, boleh lagi dimaafkan. Tetapi kalau hakim syariah yang menegakkan ‘hukum islam tambahan’ pula menentangnya, maka ianya adalah satu penghinaan kepada sunnah Nabi Muhammad. Sedangkan dia sepatutnya lebih mengetahui hakikat yang sebenar!
Ada golongan imam-imam masjid yang tergamak menghalau jemaah tabligh yang datang ke masjid untuk berdakwah menegakkan iman dan amal. Jemaah itu berkorban jiwa, masa, tenaga, wang ringgit, harta dan keluarga, semata-mata untuk menyeru diri mereka sendiri dan muslimin lain untuk meningkatkan iman dan amal, lalu dihalaunya dari masjid. Mereka berdakwah bukan atas kepentingan politik, keuntungan wang ringgit atau populariti. Sudah jelas mereka berkorban kerana ALLAH lantaran semangat dan kesungguhan mereka berkorban tanpa apa-apa balasan yang nyata di dunia sebaliknya mendapat penghinaan. Penghinaan yang diterima, kalau dari muslim yang jahil masih boleh dimaafkan, tetapi dari ustaz-ustaz yang berpendidikan agama amatlah dikesalkan. Apa yang saya lihat dengan mata hati, Nabi Muhammad juga dihina, dicerca, disakiti, diugut dan dihalau semata-mata untuk berdakwah dan jemaah tabligh itu juga menerima nasib yang sama seperti Nabi Muhammad. Tidak seperti ustaz-ustaz itu yang berceramah dalam kemuliaan dan mendapat bayaran dengan ceramah mereka. Lagi besar namanya, lagi sedap ucapannya, lagi bernas ilmunya, lagi tinggilah bayarannya. Kebenaran dan persamaan jemaah tabligh itu apabila dibandingkan dengan Nabi lebih menyerlah dari umpatan-umpatan jahil terhadap mereka. Mereka juga berceramah, membaca hadis, mengajak orang ke masjid dan berqiamulail. Tiada siapa yang membayar mereka, malah dihalau dan dicerca. Aneh juga ceritanya.
Ada kelompok orang islam yang memandang sinis kepada janggut dan serban kerana fesyen dan stail semasa. Kalau dalam tentera Malaysia, janggut tidak ada dalam perkhidmatan tentera British lalu tidak dibolehkan dalam tentera Malaysia kerana ianya nampak tidak kemas. Janggut itulah sekecil-kecil sunnah Nabi yang nyata yang boleh dipraktikkan kepada diri sendiri. Kalau boleh, biarlah mati berjanggut. Sekurang-kurangnya, ada juga sunnah Nabi yang diamalkan. Tetapi, dalam perkhidmatan tentera, yang kerjanya untuk mati, rela berkorban jiwa, untuk Negara dan bangsa tetapi tidak dibenarkan untuk berjanggut. Itu tentera islam! Kalau tentera kafir, yang benggali singh, boleh pula bela janggut dan pakai serban. Memang Israel sungguh.
Kelompok masyarakat pula, menyusah-nyusahkan pernikahan yang sememangnya dimudahkan oleh Nabi Muhammad. Dengan karenah birokrasi jabatan agamanya, dengan ‘demand’ pihak wanita lantaran untuk bermegah-megah dengan majlis atau mendapat keuntungan dari majlis serta pandangan serong masyarakat pula pada upacara pernikahan yang bermajlis kecil. Apabila anak-anak muda yang tak kuat iman dan semangat berdepan dengan situasi sebegitu, mereka mengambil jalan mudah. Nafsu sudah membara-bara tetapi nak kawin susah. Itu semua menyumbang kepada penzinaan. Persekitaran social dari segi pendidikan, pekerjaan dan kehidupan yang bergaul bebas lelaki dan wanita serta pernikahan pula dipersusahkan, maka cenderunglah anak-anak muda ini berzina. Bila dah berzina, dibunuh pula bayi itu. Cuba kalau yang kena tangkap basah itu dinikahkan terus. Zaman sekarang, zaman pergaulan bebas. Di internet pun dah boleh bercerita. Siapa-siapa yang bercinta, nikah saja supaya mereka tidak sempat berzina. Kalau beranak pun, anak itu tidak perlu dibunuh sebab ada bin atau binti. Kalau bercerai sekalipun, anak itu tetap mempunyai bapa yang sah.
Sesuatu yang ALLAH permudahkan, apabila dipersusahkan, akan mendatangkan gejala negatif. Sesuatu yang ALLAH larang, tetapi dipandang ringan, akan mendatangkan implikasi sosial. Perkara-perkara itu memang ALLAH dan Nabi Muhammad telah sebut dan jelaskan dengan terang dan nyata dalam Al quran dan hadis. Bukannya macam isu rokok, yang terpaksa gunakan qias dan ijmak ulamak kerana tidak jelas dan terang disebutkan. Hanya bergantung kepada fakta yang diberikan oleh pihak barat sendiri lalu dikenakan pada hukum islam. Kalau barat tak kecoh, kita pun senyap je. Tapi isu rokok yang dibesarkan dan dikempenkan. Bila dah berlaku pembunuhan bayi, pembunuhan diri dan pertelingkahan sana sini, mula nak menuding jari. Mulalah nak menyalak sana sini, menyalahkan orang itu dan ini. Sedangkan, diri sendiri, rupa-rupanya, tak sedar diri, ngaji saja tinggi, tapi Islam, tidak dihati dan Sayidina Muhammad tidak dicintai.
Rupa-rupanya, penterjemah keparat itu belum boleh dilempang lagi…kena lempang diri sendiri dulu sebab tak mampu nak berdakwah dan menyedarkan muslimin yang lain. Yang paling nyatanya, masih terlalu jauh dari akhlak Nabi Muhammad. ALLAHUMASOLLI ALLA SAYIDINA MUHAMMAD. ILLA HADRATI NABI SAYIDINA MUHAMMAD AL FATEHAH…..
0 ulasan:
Catat Ulasan