Khamis, 1 Julai 2010

Maaf, saya tidak minat politik.

Itulah pernyataan saya apabila diajak bersembang pasal politik. ‘Aku hairan sungguh dengan kau ni. Kebanyakan hal yang diminati lelaki kau tak minat. Politik, bola, kereta, perempuan dan duit, memang bukan cerita kau. Apa topik yang kau minat sebenarnya ni?’, keluh seorang teman yang lama tak bertemu.

‘Aku minat bersembang sesuatu yang dapat mendekatkan diri dengan ALLAH, dapat meningkatkan semangat juang, dapat melepaskan unsur-unsur negatif dalam diri, sesuatu yang baru yang tidak aku ketahui dan menganalisis idea baru.'

‘Contoh?’

‘Tasauf, tauhid, taktik dan strategi ketenteraan, akhlak dan personaliti, computer, sejarah dan idea baru!’

‘Kau tahu tak politik itu penting dan ianya sebahagian dari agama?’

‘Politik itu hanya penting bagi orang yang berminat mengenai kuasa dan kuasa itu adalah berat lagi berbahaya. Bercerita mengenai perkara yang berat dan berbahaya akan lebih mendatangkan keburukan dari kebaikan. Seluruh kehidupan adalah agama bukan politik sahaja. Tetapi, jika jiwa tidak disucikan dan memeluk Islam sepenuhnya, politik itu tetap akan menjadi kotor. Itu pendapat aku.’

‘Berat dan berbahaya? Bagaimana pula tu?’

‘Itu kita kena rajin membaca buku sejarah. Aku ceritakan 3 kisah buat iktibar. Yang pertama, perebutan kuasa antara Muawiyah dengan Sayidina Ali sehingga menimbulkan perpecahan antara khawarij, syiah dan sunnah sehingga sekarang. Perang itu menumpahkan darah sesama Islam. Kedua, kisah pembunuhan seluruh keluarga dari bayi sehingga orang tua dinasti Umaiyah oleh khalifah Abasiyah. Dan yang ketiga, seorang anak tega untuk membunuh bapa dan bapa tega membunuh anaknya demi kuasa. Itu semua kisah dari sejarah.’

Teman saya diam seketika. Mujur juga dia dari jenis yang cerdas juga akalnya. Kalau tidak, sudah pasti akan berlaku perdebatan panjang yang pengakhirannya rasa tak puas hati dan dendam yang mungkin terbuku di dada. Perkara seperti itu sering berlaku ke atas saya setelah saya mengemukakan pendapat yang seperti itu ketika bersembang dengan mereka-mereka yang kurang rasional dan dangkal.

‘Jadi, apa yang kita perlu buat sebenarnya? Ini berkaitan pucuk pimpinan dan ianya penting!’

‘Masa mengundi, undilah calon yang Islam, alim dan berakhlak mulia tidak kira lah dari Parti mana pun dia. Kalau tiada, pilihlah yang mendekatinya. Kalau dua-dua kafir, pilihlah yang lebih bertolak ansur dan rasional terhadap Islam. Seeloknya, usah dipilih yang kafir, pilih yang Islam itu lebih utama.’

‘walau yang Islam itu buruk akhlak dan perilakunya?’

‘sekurang-kurangnya, dia percaya yang ALLAH itu Tuhannya dan Muhammad itu Nabinya. Dia tahu mengenai syurga dan neraka. Antara kafir dan Islam, pilih Islam. Antara Islam dan Islam, pilih yang paling berakhlak mendekati rasulullah.’

‘bagaimana dengan ideology politik partinya?’

‘Itu serahkan pada ALLAH. ALLAH lah yang menaikkan seseorang pemimpin itu dan ALLAH jualah yang menjatuhkan. Itu kehendak ALLAH. Tak payah nak taksub pada mana-mana Parti atau ideology. Taksublah pada ALLAH. Kau kena baca Sirah Nabi dan Sejarah Islam Dunia, baru pandangan kau tentang politik itu lebih jelas dan jernih.’

‘Bab membaca ni yang aku malas.’

‘Itulah puncanya kenapa topik kita berbeza. Dan itulah puncanya, kenapa aku tidak minat bersembang mengenai politik, bola, kereta, wanita dan dunia ini. Banyak lagi benda bermanfaat yang boleh disembangkan. Silalah ke blog aku. Mudah-mudahan, ada juga manfaatnya.’

'Kau ada blog?'

'sebagai penulis, ianya adalah tempat latihan.'

Dan perbualan kami menjurus kepada perkara yang bermanfaat. Akhirnya, sempat juga saya berkata, 'Oh ya...aku gemar juga bersembang bab wanita tetapi dalam topik yang berbeza. Dalam blog aku ada ceritanya.!'

0 ulasan:

Catat Ulasan