Setelah sekian lama siaran tergendala, akhirnya saya mendapat sedikit suntikan semangat untuk menyambung cerita hantu yang telah saya siarkan beberapa bulan yang lepas. Memang ada beberapa pembaca yang mengomplen sekiranya cerita bersambung, baik tak payah tulis. Komplen mereka itu tidak saya masukkan dalam ruang komen, kerana saya rasa bersalah. Betullah, pandai memulakan, tetapi tak pandai mengakhirkan.
Sebenarnya, menulis lebih susah dari membaca. Ibarat memasak lebih susah dari makan. Menulis pada saya ibarat memasak, kena ada moodnya, kena ada bahannya, kena ada rencahnya, kena ada tekniknya dan yang penting kena ada resipinya. Sebelum memasak, kita mesti tahu, nak masak apa dengan resipi apa dan untuk hidangan apa supaya masakan itu sedap dan berkhasiat. Begitulah kira-kiranya, menulis ini. Maaf saya pohon kepada yang menunggu.
Saya berupaya untuk menyambung cerita hantu ini pada bila-bila masa kerana ianya memang benar-benar berlaku ke atas saya. Ada lebih kurang sepuluh kisah yang benar-benar berlaku ke atas saya dan ianya meninggalkan kesan kepada jiwa. Saya menjadi kurang ngeri pada hantu malah membuat saya berminat untuk mengkaji hantu. Ditambah pula dengan proses pencarian dan pengamalan ilmu tasauf yang akan membawa kepada alam jin samada rela atau tidak. Makanya, hanya ALLAH saja yang menentukan andai kesemua cerita itu dapat saya tuliskan untuk santapan pembaca sekalian. Terima kasih kepada yang membaca dan terima kasih juga kepada yang sudi meninggalkan komen.
Kepada yang baru membaca siri ketiga ini, sila rujuk pada siri pertama dan kedua pada label 'cerita hantu'. Elok baca dari mula, takut ‘isim ilmu’ pula nanti.
Sambungan cerita Kapten John.
Saya memejamkan mata serapat-rapatnya sambil membaca surah Fatehah dan ayat kursi. Ayat kursi yang saya baca tunggang langgang lantaran terlalu takut. Ada aura sejuk yang menyelubungi tubuh saya bermula dari sebelah kiri. Aura sejuk itu terlalu sejuk sampai ke tulang sumsum tapi yang peliknya, saya berpeluh. Saya merasakan yang seolah-olah masa telah terhenti dan saya sedang berada dalam dimensi yang lain.
Meskipun saya di dalam kelambu, dan berselimut dengan blanket tentera yang gatal itu, tetapi kesejukan tetap terasa. Hantu itu berdiri betul-betul disebelah kiri capoi saya di paras dada kerana saya tidur dikatil atas. Di bawah, seorang sahabat merangkap JUO saya, pokcik, sedang tidur atau memang dah terjaga, saya tak tahu. Saya memang dapat merasakan yang hantu itu sedang merenung saya.
Tiba-tiba, katil saya bergoncang dengan kuat seperti ditendang dengan marah. Saya betul-betul terkejut. Sudahlah saya dalam keadaan takut, katil digoncang dengan satu kuasa yang kuat. Secara spontan saya menjerit lalu duduk. Saya membuka mata dan melihat sekeliling.
Hairan sungguh saya. Tiada seorang pun yang terjaga dengan jeritan saya itu. Saya sangka saya sudah menjerit dengan sekuat hati. 34 orang dalam berek itu, tak seorang pun yang terjaga! Dan keadaan sangat-sangat sunyi dan hening. Saya sungguh hairan dan pelik lalu perasaan seram sejuk datang kembali. Saya baring semula dan cuba menyambung tidur sambil membaca ayat qursi dengan tenang. Saya tidak pasti, adakah pokcik yang tidur dibawah sedar atau tidak dengan goncangan katil dan jeritan saya tadi.
Saya kembali tenang dan mula nak tidur. Dalam mamai itulah, saya termasuk semula ke alam Kapten John. Kali ini, dia betul-betul berada di kepala saya. Nafasnya memang terdengar dengan jelas seperti nafas lembu kena sembelih atau seperti nafas orang nak mati (kalau pernah terserempaklah dengan insiden ini). Kruuuh…kruuuuh…kruuuh…sehingga terasa hembusan nafas itu menembusi kelambu.
Belum sempat saya nak menjerit, dia menjerit dahulu. ‘What are you doing boy?’, ‘why are you here?’dan beberapa patah lagi perkataan yang tak dapat saya tangkap buah butirnya. Hanya dua ayat itu yang sempat saya dengar dengan jelas. Itu pun dalam loghat Scotland yang tebal dan pekat. Selepas dua tiga hari baru saya dapat menangkap apa yang dicakapkannya lantaran loghat Scotland yang tebal itu sebab keesokan malamnya, dia telah bercerita kepada saya tentang riwayat hidupnya dari pukul 12 malam sampai pukul 5.30 pagi. Saya attend B (lebih kurang MC dari kerja berat) hari tersebut sebab saya tidak dapat melelapkan mata walau sesaat malam itu lantaran terlalu asyik dan takut mendengar ceritanya.
Dah lah tak dapat tidur, tak dapat rehat, kena rempuh halangan dan berkawad sepanjang hari, terasa tak bertenaga. Malah mata kiri saya tak dapat dibuka pada hari itu, saya tak tau kenapa tetapi jurulatih saya buat tak tahu saja dan saya ingat lagi kata-kata En nordin, KSMJ saya setelah diadu oleh Sarjan Asri, ‘hang tak boleh buka mata hang tu ka? Hang angkat kayu balak nama ELLA atau ERRA tu, hang peluk, hang cium, hang romen kayu tu, pastu, hang pikul dari kompeni E sampai ke padang kawad. InsyaALLAH, baik mata hang tu.’ Saya sebagai Pegawai kadet yang taat setia, terus melakukan apa yang disuruh, dan benar, mata kiri saya terbuka semula, selepas kelelahan berlari sambil memikul balak.
Atas asebab ceritanya itulah maka saya ceritakan kisah ini. Kalau boleh, biarlah orang lain yang pernah terkena dengan bahana Kapten john ini mengetahui ceritanya yang sebenar kerana itulah yang dia mahu. Dia mahu kisahnya diketahui orang. InsyaALLAH, kalau rajin, akan saya kisahkan riwayat hidup Kapten John ini berdasarkan penceritaannya daripada dia sampai ke Malaya sampailah dia dipancung jepun.
Balik kepada cerita tadi, selepas dia berhenti merapu dan membebel, sekali lagi saya menjerit. Kali ini saya menjerit, bangun dan membuka mata sambil menoleh ke kiri. Kalau Nampak, nampaklah. Saya tak kira…dan tu dia aih! Saya tak mampu untuk menurut nasihat En Nordin, kalau terserempak, sedia dan salute. Saya tergamam dan menggigil ketakutan.
Berdiri satu lembaga tidak berkepala yang bertubuh sasa, berpakaian seragam kuning askar British dengan pangkat kapten di bahu (3 pick tembaga berwarna silver, lain dari pick tentera darat Malaysia yang disemat pada apoulet bahu), berseluar pendek, berkasut kawad dan berstokin kelabu, tangan kanannya memegang tongkat dan tangan kirinya memegang kepala. Lembaga itu memegang kepalanya. Kesan pancungan pada lehernya nampak tidak rata dan urat murinya (central venus) jelas kelihatan terjulur keluar. Darah menyembur ketika dia bernafas.
Kepala yang dipegangnya itu bermata pejam, berwajah tirus, berhidung tinggi dan berambut hitam. Saya tak tahulah samda itu memang rupanya yang sebenar. Apa lagi, terkejang saya disitu. Entah macamana, saya mendapat kekuatan untuk keluar dari kelambu dan terjun dari katil dan terus menyelinap masuk ke kelambu Pokcik lalu terus masuk dalam blanket Pokcik. Satu tindakan reflex yang terpantas yang pernah saya lakukan. Saya rasa dalam lingkungan 15-20 saat jer. Sebaik saja jatuh ke lantai terus saya melompat ke katil pokcik. Pokcik sebenarnya telah sedar dan terjaga. Dia terus memeluk saya dan kami sama-sama menggigil lantaran kesejukan dan ketakutan.
Kami berselubung dalam blanket gatal pokcik dan dalam blanket sempat saya bertanya, ‘Cik, ko dengar tak apa yang aku dengar?’ Pokcik berbisik, ‘Aku dengar semua sekali dari kau menjerit kali pertama sampailah kau masuk dalam blanket aku ni.’ (Lepas beberapa minggu kemudian, kami ketawa bersama apabila mengenangkan peristiwa itu. Betapa tindakan saya melompat dari katil atas ke katil bawah itu adalah ibarat gerakan membuka pintu. Begitu pantas dan teratur.) Yang peliknya, saya menjatuhkan diri di hadapan Kapten john itu. Bukannya di sebelah kanan. Sepatutnya saya jatuh dihadapan kakinya, tetapi saya tak perasan dengan kakinya sedangkan tadi saya dapat melihat seluruh tubuh. Samada terlalu pantas atau pun terlalu takut.
Saya mencadangkan kepada pokcik, ‘jom kita baca ayat qursi dan kita hembus serentak kat dia. Satu dua mula.’ Maka kami pun sama-sama membaca ayat qursi dan menghembus ke kiri dimana kedudukannya berada. Malangnya, ianya tidak memberi kesan. Semakin marah lagi adalah. Ditendangnya capoi kami sampai terangkat. Saya hairan sekali, kenapa rakan-rakan yang lain tak mendengarnya. Begitu kuat sekali dentuman katil itu. Maklumlah, dah dua orang dalam satu selimut.
Kemudian, kapten john mengamuk dengan menendang locker dan beberapa capoi lagi. Macam medan perang bunyinya. Berdentam dentum. Dia paling marah kepada Locker Joo Soon Yew (apa khabarlah si Joo ini, dah jadi ahli politik agaknya), rakan satu skot cina kami yang tidur di katil sebelah saya. Dia berkongsi locker dan katil dengan Ahmad Musaddad, ustaz usuluddin. Habis diterbalikkan locker itu. Bayangkanlah locker setinggi 2 meter itu, dicampak ke tengah-tengah berek. Dan tiada siapa pun yang sedar.
Saya dan pokcik menggigil habis. ‘mampuslah kita pokcik, silap-silap dengan kita sekali dihumbannya keluar.’ Saya berbisik. Mendengar saya berbisik, dia berpaling ke arah kami dan menendang lagi katil kami. Ketika itu, kami memejamkan mata dan berpeluk erat, macam pasangan pengantin barulah pulak. Sampaikan peluh ditubuh kami bercampurlah. Nasib baik kami bukan homoseksual, kalau tidak entah-entah dah terberlaku sumbang mahram. Nauzubillahiminzaliq.
Tiba-tiba saja, suasana menjadi hening dan dia pun hilang begitu saja. Saya tak tahu apa yang terjadi kerana kami sememangnya keletihan lalu kami tertidur dalam berpelukan. Sedar-sedar saja, dah pukul 4 pagi, dan beberapa orang rakan kami telah bangun untuk bersiap. Sebaik terjaga terus saya bangun untuk melihat keadaan.
Semuanya dalam keadaan yang sangat baik dan teratur. Tiada locker yang terbalik. Tiada capoi yang dihumban keluar. Pintu disebelah kiri juga masih tertutup dan berkunci. Hairan sungguh saya. Begitu juga pokcik tetapi kami tidak berkata apa-apa walau sepatah pun lalu bersiap untuk mandi dan berpakaian. Sekejap lagi kena berbaris untuk ambik senjata. Kalau lambat, nanti baris belakang. Kalau baris belakang, lambat pergi dewan makan. Itu saja yang ada dalam kepala ku ini. Makan dan baris. Baris dan makan.
Sewaktu mengemaskan capoi, saya mendapati cadar, blanket dan tilam saya telah basah oleh peluh. Begitu juga dengan capoi pokcik. Maksudnya, kami ini kirakan sedang PT (physical training) walau dalam tidur. Baru saya terasa letih. Dan sekejap lagi, kami akan berPT dengan berlari keliling kem, bersenaman yang berat-berat lalu merempuh halangan. Penat tak terkata dan rasa menyesal masuk tentera (perasaan sesal hanya ketika itu sahaja, selepas habis dan santai macam sekarang ini, ianya digantikan dengan perasaan bangga dan gembira). Lalu semasa berlari pagi itu, saya menyanyikan lagu dan diikuti oleh semua skot-skot saya yang pernah diajar oleh jurulatih kami, Sarjan Jaafar Armor the brutal.
Siapa suruh masuk tentera
Jika tahu cari penyakit
Lebih baik duduk di kampong
Tanam ubi dan tanam jagung
Bila sudah masuk tentera
Yang pertama tentera udara
Terbang tinggi diangkasa raya
Silap-silap terbanglah nyawa
Yang kedua tentera laut
Ramai orang yang tidak sanggup
Kapal karam tak dapat berpaut
Hanya jerung yang membuka mulut
Yang ketiga tentera darat
Ramai orang yang tidak larat
Buat kerja yang berat-berat
Habis putus hai urat saraf….
Hahahahah…lagu itu memang lekat dalam memori ku sebab ada cerita yang berkaitan dengannya. Untuk cerita seterusnya, terpaksalah disambung…ada banyak kisah hantu dan juga lucu yang berkaitan dengan rakan-rakan satu skot saya. Kisah ini, ku tujukan kepada semua rakan satu skot ku, tak kira dimana korang berada dengan ucapan…ingatkah korang kisah di PUSASDA….hahahahahaha!
Ikuti kisah kapten john yang akan menyusul.
menarik
BalasPadam