Tahun lepas, semasa Ganyang Malaysia kedua (sept – 0kt 2009) atas pelbagai isu, saya tidak tidur malam membalas tohmahan, caci maki, tuduhan dan ugutan perang segelintir rakyat Indonesia dilaman web, ke atas rakyat dan Negara saya Malaysia. Saya membalas dengan hujah, fakta dan bahasa yang lunak, berisi, padat dan lembut malah bertelo Indonesia, tetapi dijawab dengan maki hamun dan cacian yang terlalu menyinggung perasaan seolah-olah saya, masyarakat, rakyat dan Negara Malaysia ini, begitu hina, jahat, zalim dan terlalu berdosa ke atas mereka dan Negara mereka. Antara 100 yang membalas komen, 90 memaki hamun, 5 menjawab hujah dengan balasan yang lemah dan tidak rasional, 3 diatas pagar dan 2 yang bersimpati kepada Malaysia. 2 yang bersimpati itu akan dikutuk habis-habisan oleh yang lain sehinggakan mereka senyap dan tidak bersuara lagi. Mereka-mereka yang dilaman web ini, tidak dibayar oleh sesiapa. Mereka hanya ada semangat berperang dan memaki hamun yang tinggi!
Tahun ini, ganyang Malaysia ketiga kedengaran lagi. Insiden yang tercetus berkaitan isu sempadan di perairan, dengan penangkapan 7 nelayan Malaysia oleh pihak Indonesia dan 3 kakitangan perikanan Indonesia oleh Polis marin Malaysia. Isu itu diselesaikan antara kerajaan dengan penukaran dan perlepasan nelayan dan kakitangan perikanan antara kedua Negara. Sekali lagi, maki hamun dilaman web, ugutan perang, demostrasi, pembakaran bendera dan serangan ke atas kedutaan Malaysia (kali ini dilumur dengan najis), berlaku lagi. Hanya dengan satu isu, setelah beberapa isu yang dahulu reda, caci maki dan ugutan perang berlaku lagi. Ianya ibarat api dalam sekam. Luar Nampak tenang, tetapi dalamnya membara.
Berdasarkan pemerhatian dari ganyang Malaysia kedua, yang mana 90% Indonesian dilaman web (yang mungkin hanya 0.5% dari keseluruhan rakyat Indonesia) mahukan perang dan ganyang yang terbaru, menurun kepada 80%, menunjukkan, kalangan intelektual dan celik IT mereka, juga begitu bersemangat untuk berperang dan mengganyang Malaysia.
Sewaktu saya mengkaji dengan membaca dan bertanya mengenai Ganyang Malaysia yang pertama (konfrantasi Malaysia Indonesia 1962-1966) yang dicetuskan oleh Sukarno, saya mendapati Malaysia ketika itu amat-amat teraniaya. Antara sebab-sebab Sukarno mengistiharkan konfrantasi terhadap Malaysia adalah
1. Menuntut Sabah dan Sarawak ke dalam jajahan Indonesia.
2. Menuduh Malaysia adalah sebahagian dari jajahan British dalam bentuk colonial yang baru.
3. Malaysia sebagai pusat imperialis Asia tenggara.
4. Demonstrasi rakyat Malaysia yang menyerbu kedutaan Indonesia, membakar bendera indonesia dan memijak gambar Sukarno.
5. Sukarno terpengaruh dengan fahaman komunis.
http://id.wikipedia.org/wiki/Konfrontasi_Indonesia-Malaysia
Ketika itu, Malaya baru 6 tahun merdeka dari British. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia secara sukarela dan undian. Indonesia mahukan Sabah dan Sarawak manakala Filifina mahukan Sabah. Negara Malaysia yang baru ditubuhkan ketika itu berada dalam keadaan yang sangat lemah. Ekonomi belum begitu stabil, perpaduan rakyat tidak sekata, ketenteraan terlalu lemah, ancaman pengganas komunis masih berleluasa dan kemajuan infrasturktur masih daif. Indonesia pula telah bersiap dan menggerakkan tenteranya untuk menakluki Malaysia dengan kekuatan tentera payung terjun, komando, marin dan pasukan sukarela sehingga berjumlah lebih kurang 20 batalion. Salah Malaysia ketika itu adalah kerana Sabah dan Sarawak secara sukarela ingin merdeka dan menyertai Malaysia bukan Indonesia.
Dengan keadaan pertahanan Malaya ketika itu yang hanya mampu memiliki 6 batalion Askar Melayu, beberapa buah kapal perang kecil hadiah British dan beberapa buah kapal terbang pengangkut juga hadiah British, Negara kecil dan miskin ini, terpaksa berperang dengan Negara Indonesia yang keadaan ketenteraannya begitu gagah dan besar malah mempunyai briged payung terjun, marin dan pasukan komando. Malaysia tidak mempunyai komando pun ketika itu apatah lagi briged payung terjun dan marin.
Mujur ketika itu, British sudi membantu mempertahankan Malaysia dengan menghantar pasukan-pasukan infrantri dan komandonya, meminjamkan meriam-meriam, menempatkan beberapa buah kapal perang di perairan selat Melaka, menugaskan helicopter dan pesawat pengebom dipengkalan-pengkalan udara serta mengatur srategi psywar ke atas Indonesia.
Sekiranya, Malaya satu ketika dahulu merdeka dengan pertumpahan darah, belum tahu British akan membantu Malaysia ketika itu. Akan tetapi, apabila kita merdeka dengan diplomasi dan kelembutan, mereka sudi untuk membantu malah melepaskan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Negara Malaysia. Pengorbanan British adalah dengan keberanian menghantar tentera yang akan dikorbankan untuk Negara Malaysia, yang pernah mereka jajah dahulu. Bukannya saya memuja British, tetapi sekadar menghargai sumbangan dan pertolongan mereka kepada Negara kita.
Setelah berperang dan berkonfrontasi selama 4 tahun, akhirnya Indonesia tewas dengan beberapa cara.
1. Serangan Kopasus dan marin Indonesia ke atas Sabah dan Sarawak ditumpaskan dengan pertahanan gabungan SAS (komando British) , infrantri British dan tentera Gurkha.
2. Serangan dan pendaratan Briged Payung terjun dan marin Indonesia ditumpaskan dengan pertahanan bersama Askar melayu, British dan tentera Negara-negara komanwel.
3. Sokongan padu rakyat Malaysia ke atas kerajaan ketika itu yang menyertai kawalan tempatan dan melaporkan penyusupan tentera Indonesia yang kelihatan.
4. Pendedahan penyusupan Partai Komunis Indonesia (PKI) oleh pihak perisikan British kepada rakyat Indonesia.
5. Pemberontakan rakyat dan tentera Indonesia ke atas Sukarno ekoran peristiwa G30 september 1965 dengan pembunuhan 6 orang general Indonesia oleh PKI.
6. Pendedahan kerjasama PKI dan Parti komunis Malaysia (PKM) oleh cawangan khas dan perisikan Malaysia.
7. Penghapusan PKI oleh Suharto selepas berkuasa.
(http://id.wikipedia.org/wiki/Gerakan_30_September)
Setelah menandatangani perjanjian damai, Malaysia tidak mengungkit-ngungkit lagi kisah konfrantasi itu dan menumpukan usaha untuk menghapuskan pemberontakan PKM, membangunkan ekonomi, meningkatkan tahap pendidikan dan taraf hidup rakyat semua negeri-negeri dibawah Malaysia. Indonesia pula bersungguh memesrakan hubungan sehingga melatih tentera Malaysia dalam bidang komando, mengadakan usahasama dan menjalinkan hubungan diplomatik yang mesra sehingga rakyat Malaysia dan Indonesia ketika itu merasa bersaudara.
Kini, setelah 44 tahun peristiwa konfrantasi dan Ganyang Malaysia berakhir, slogan itu disebut-sebut kembali. Malaysia telah membangun dengan cemerlang dan gemilang selama 44 tahun itu sehingga mencapai tahap ekonomi yang stabil, pendidikan rakyat yang tinggi, taraf hidup yang meningkat serta infrastuktur yang moden dan lengkap. Sebaliknya, Indonesia, dalam tempoh 44 tahun itu, tidak banyak yang dapat dicapai jika dibandingkan dengan Malaysia lantaran keluasan negaranya (apatah lagi kalau sabah dan Sarawak digabungkan), rasuah yang berleluasa, kelemahan kerajaan, pendidikan yang tidak sekata, parti-parti politik yang huru hara dan taraf hidup rakyatnya yang rendah. Perkara yang membanggakan Indonesia adalah semangat nasionalisme rakyatnya yang tinggi dan angkatan tentera yang besar.
Jurang perbezaan ekonomi rakyat antara Malaysia dan Indonesia adalah salah satu faktor yang mencetuskan perasaan iri hati dan dendam sepertimana yang pernah berlaku antara bangsa melayu dan cina di Malaysia satu ketika dahulu. Kerajaan Malaysia setelah mengenal pasti masalah tersebut dan serta merta merangka dasar ekonomi baru (DEB) untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bangsa di Malaysia sehingga semua bangsa dapat maju bersama-sama. Begitu juga antara Negara, Malaysia telah menawarkan peluang pekerjaan dan pelaburan ekonomi dengan Indonesia untuk merapatkan jurang ekonomi antara dua Negara serumpun itu sehingga kedua-dua Negara dapat maju bersama-sama.
Faktor yang lain adalah ujudnya provokator, batu api dan perosak yang mengatur strategi halus, terperinci dan jauh untuk memecahkan perpaduan antara Malaysia dan Indonesia. Provokator dan perosak ini terdiri dari pelbagai pihak yang berkepentingan dan berkeuntungan hasil dari perang antara Malaysia dan Indonesia seperti pembekalan senjata oleh Amerika, perlebaran wilayah oleh singapura, gerakan kristian Indonesia, pemecahan Islam oleh illuminati, pembalasan dendam yahudi zionis, parti-parti politik pembangkang di Indonesia dan malaysia dan pengautan untung pihak kapitalis. Ianya boleh difikirkan sambil lalu sahaja tetapi ada komen rakyat Indonesia yang dengan marahnya mengatakan ‘jangan meyalahkan orang lain kalau memang diri sendiri yang salah!’.
Cakaplah apa saja, hujahkanlah dengan bernas, berikanlah fakta yang benar dan berbicaralah dengan lembut sekalipun, Malaysia dan rakyatnya tetap akan dipersalahkan atas pelbagai isu dari mencuri kebudayaan, tamakkan wilayah, pencerobohan sempadan, keangkuhan kekayaan dan mencalar maruah mereka. Mujur presiden dan kerajaan Indonesia sekarang ini masih punya rasional dan pemikiran. Akan tetapi, sekiranya, tiba-tiba, presiden dan kerajaan itu berubah tampuk pemerintahan atau dipengaruhi pendiriannya, maka mungkin sekali lagi Malaysia akan teraniaya. Kali ini mungkin lebih teruk lagi lantaran, Malaysia sudah berdiri sendiri dan tidak berpaut kepada British, Malaysia juga lantang mengkritik Israel dan Amerika, perpecahan bangsa melayu kepada 3 segmen (nasionalis, islam dan liberal), kelantangan cina ultra kiasu, kegilaan kuasa sesetengah pemimpin dan kurangnya semangat patriotik dikalangan rakyat lantaran kemewahan, ketaksuban politik dan pendidikan yang diterima.
Maka perang mungkin boleh berlaku. Bila-bila masa. Teringat satu ketika dahulu apabila terlibat dalam mesyuarat pentauliahan PALAPES 2006 di UM sewaktu memikirkan tentang tema upacara itu. Spontan Prof. Dato. Dr Hashim Yaakob, yang ketika itu Naib Canselor UM mencadangkan , ‘Kedaulatan Negara, kita pertahan, kita jaga!’ Tapi yang nampaknya sekarang ini, ‘kedaulatan Negara, peduli apa kita, askar dan polis kan ada!’
Saja nak meletakkan kata-kata jiran saya yang sinis dengan perkara ini, ‘Buat apa kau susah payah bersengkang mata melayan orang-orang bodoh macam tu, tidur lagi baik lah!’ memang benar kata-katanya itu, tetapi saya hanya mengharap keredhaan ALLAH sehingga tertulisnya rencana ini, atau, mendapat sedikit pahala (apabila mungkin ada Indonesian yang akan memaki rencana ini), atau memberi sedikit gambaran kepada yang tidak mengetahui, atau, menjernihkan yang keruh, atau sekurang-kurangnya, memberi sedikit kesedaran kepada semua, atau, paling cekailah…supaya bersedia dengan segala kemungkinan dan dugaan oleh ALLAH, tak kira apa pun.
0 ulasan:
Catat Ulasan