Jumaat, 15 Oktober 2010

Mengambil Gaji di Kuwait

Kuwait adalah sebuah Negara yang terkaya di rantau teluk dengan nilai mata wang yang tertinggi di dunia. Penduduknya berjumlah lebih kurang 3 juta orang dengan 1.3 juta adalah rakyat tempatan. Selebihnya adalah warga asing yang bekerja mencari rezeki di sana. Kebanyakan rakyat asing yang bekerja di Kuwait adalah dari India, Mesir, Yemen, Pakistan, Bangladesh, Filifina dan Indonesia. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh yang berpendapatan amat rendah dengan jurang perbezaan pendapatan yang begitu tinggi. Pekerja dari Malaysia adalah terlalu sedikit dengan jumlah tidak sampai 200 orang termasuk keluarga dan kebanyakan mereka dari golongan professional.


Saya teruja untuk menceritakan bagaimana system pengambilan gaji untuk pekerja-pekerja sementara seperti saya di kementerian kesihatan Kuwait. Sistemnya sangat unik dan menyebalkan hati. Prosedurnya adalah seperti berikut.

1. Surat pengesahan bekerja selama sebulan dari kerani jabatan yang ditandatangani oleh ketua jabatan.

2. Bertemu dengan pegawai A utk mengesahkan dan menandatangani surat dari jabatan.

3. Menunjukkan surat kepada kerani B untuk mendapatkan fail gaji. Kerani B akan mengarahkan pergi ke kerani C.

4. Kerani C akan mengesahkan surat dan membuat surat pengesahan gaji lalu mengarahkan pergi ke kerani B.

5. Kerani B akan membuka fail dan membuat surat gaji disahkan lalu mengarahkan bertemu kerani C.

6. Kerani C akan menandatangani surat itu dan mengarahkan untuk bertemu kerani D.

7. Kerani D akan membuat kiraan gaji dan membuat surat gaji berangka gaji yang diterima lalu bertemu dgn ketua kerani E.

8. Ketua kerani E akan menyelidik semua dokumen dan surat sebelum menandatanganinya. Sekiranya ada sedikit kesilapan, semuanya akan dimulakan balik dengan kerani B. sekiranya ok, perlu bertemu semula dengan kerani C.

9. Kerani C akan menandatangan dan bertemu semula dengan kerani B.

10. Kerani B akan menandatangan dan mengarahkan untuk bertemu dengan pegawai A.

11. Selepas ditandatangan oleh pegawai A itu, bertemu semula dengan kerani B dan mendapat surat pengesahan gaji berangka lalu mengarahkan untuk bertemu dengan kerani F dijabatan akaun.

12. Kerani F akan menyemak dan sekiranya berlaku kesilapan, perlu bertemu dgn kerani B semula. Sekiranya lulus, bertemu dengan kerani G.

13. Kerani G akan membuat cek dan menyuruh untuk ditandatangan oleh pegawai H.

14. Pegawai H yang sangat sibuk dan marah-marah, selepas menandatangan akan mengarahkan untuk ditandatangan oleh Pegawai I.

15. Pegawai I juga sgt sibuk dan urusan tandatangan cek perlu ditunggu seketika. Apabila mendapat tandatangan dari pegawai I, bertemu kembali dengan kerani G.

16. Kerani G akan mengesahkan tandatangan dan menyuruh saya menandatangan borang pengambilan cek.

Barulah cek tersebut dapat ke tangan saya. Lalu bergegaslah saya ke Bank of Kuwait untuk menunaikan cek tersebut. Disebabkan wang tunai yang terbesar untuk Kuwait hanya bernilai 20KD sahaja, untuk yang bergaji lebih dari 1000KD, maka mereka akan mendapat selepuk duit yang tebal. Sampai terbonjol poket.

Perasaannya setelah menunaikan cek adalah seperti baru lepas dari soal siasat polis atau selesai kes mahkamah. Ada kepuasan dan kesyukuran dalam hati. Yang anehnya, kadang-kadang, apabila semuanya berjalan lancar, kesemua urusan itu dapat diselesaikan dalam jangkamasa 45 minit. Tetapi kalau berlaku sedikit masalah, ianya mengambil masa dua hari.

Masalah utamanya adalah bahasa. Mereka akan bercakap bahasa arab slang Kuwait yang sukar untuk difahami melainkan sekiranya kita memang sudah fasih berbahasa arab. Amat sedikit yang berbahasa Inggeris sedangkan kebanyakan pelanggan mereka adalah orang-orang asing dari mat salleh sehinggalah ke orang asia macam saya ni.

Dari pakar perunding perubatan sehinggalah ke pembantu am rendah, dari yang bergaji berbelas-belas ribu sehinggalah ke gaji berpuluh-puluh KD, semuanya perlu melalui prosedur dan nasib yang sama. Saya terserempak dengan seorang doktor yang saya kira berasal dari Mesir, mengamuk dan memekik-mekik memarahi kerani F. Gempar seketika ruang pejabat tersebut dan kembali tenang setelah doktor itu keluar sambil membebel dengan suara yang tinggi.

Ada beberapa insiden yang menyentuh hati saya dalam urusan mengambil gaji ini. Saya terlihat seorang jururawat dari india yang apabila saya jeling dokumennya, bergaji 350KD atau lebih kurang RM4000. Ada satu kesilapan dalam dokumennya dan dia telah ditendang umpama bola ke sana dan kemari. Akhirnya dia meminta pertolongan berbayar dari pekerja-pekerja am berbangsa india di pejabat itu yang sedaya upaya membantunya memdapatkan tandatangan pegawai yang enggan menandatangani surat ceknya iaitu pegawai H. jelas kelihatan kesedihan dan pengharapan di wajah jururawat itu. Saya beranggapan, pasti dia sudah tidak berwang sehingga begitu mengharap akan cek itu diluluskan seperti saya juga.

Insiden yang lain pula, berkenaan Pegawai A yang begitu baik hati dan memahami masalah pengambil gaji seperti saya ini. Beliau menyambut dengan senyuman dan terus menandatangan dengan menyemak sekali lalu sahaja. Berbeza pula dengan kerani F, G dan pegawai H. mereka akan menyemak seperti mencari kesilapan dan dengan gembiranya akan menendang dokumen yang ada kesilapan.

Saya memandang perkara ini dengan perasaan yang neutral meskipun sedikit sebal kerana ianya adalah karenah birokrasi sahaja. Mujur di Malaysia tidak seperti itu dan karenah birokrasinya tidak sehebat disini. Ada baiknya perkara ini apabila saya merasa bersyukur setelah mendapat wang gaji saya dan bersyukur bahawa Malaysia, Negara saya, tidak seperti ini.

4 ulasan:

  1. cayalaaa htc,tapi pasal gaji tu buat pembetulan skit ..tq HONG KONG TAIWAN CINA

    BalasPadam
  2. Makk aiii..amek gaji bersusun-susun steps. Tiap-tiap bulan kena lalu perkara sama mcm ni..mak aaihh..bawak-bawak bersabar ye uncle..hehe

    BalasPadam
  3. dah dibetulkan pertukaran wang 350KD = RM4000. begitulah tiap kali nak ambik gaji....kalau org panas baran...mmg susah nak keje kat sini....

    BalasPadam
  4. sungguh terharu mendengar penjelasan ini...itulah pahit jerih berada dirantau orang bak kata pepatah hujan emas dinegara orang hujan batu dinegara sendiri, baik di negara sendiri..saya adalah sebahagian dari yang maat memahami hal ini kerana orang tersayang pun berada di sana..semoga Allah kuatkan semangat, ambiklah ia sebagai pengajaran..bukan semua orang yang berani dapat berada dan bekerja diluar negara, apapun syukur kerana rakyat Malaysia ini bersemangat waja yang tak mampu diluahkan..hanya yang melaluinya sahaja merasa..itulah manusia yang dijadikan Allah merasakan dirinya lebih berkuasa menetukan segala dan lupa Allah itu lebih berkuasa....semoga lebih tabah, sabar, redha dan setiap detik selalulah berdoa....amin

    BalasPadam