Segala puji bagi ALLAH yang telah mengurniakan kepada saya dengan sahabat-sahabat yang alim, soleh, waraq dan zuhud, yang sudi memberi peringatan, teguran dan pandangan yang tuntas lagi bernas serta berhikmah dan lembut dalam memberi nasihat. Memang ada dikalangan sahabat-sahabat saya itu yang sikapnya keras dan tegas, tetapi tetap lunak dan tegar ilmunya. Sesungguhnya, mereka-mereka adalah kurniaan yang terbesar buat saya.
Juga kepada guru-guru saya, segala puji bagi ALLAH yang telah mengurniakan mereka kepada saya, yang tetap sudi menerima saya menjadi murid-murid mereka walau begitu zalim dan jahatnya saya, kepada diri saya sendiri dan makhluk lain. Cara mereka yang berhikmah dalam mendidik dan tidak menghukum, melembutkan hati saya sehingga saya merasa amat malu kepada mereka. Semoga mereka dilimpahi dengan keberkatan dan rahmat ALLAH selama-lamanya. Sesungguhnya, mereka-mereka adalah rahmat yang besar kepada saya. Alhamdulillah.
Malam ini, merupakan malam yang segar buat saya. Setelah beberapa bulan lemah tanpa sokongan dan dorongan atas iman dan amal, saya diperingatkan bahawa saya perlu redha dengan segala ketetapan ALLAH ke atas saya, biar betapa sukar, derita dan pedihnya perkara itu atau betapa gembira dan hebatnya kejayaan yang diberi. Bersyukur atas kegembiraan dan bersabar atas penderitaan. Dan yang lebih baiknya, berduka dengan kegembiraan dan bergembira dengan penderitaan. itu sudah dikira mencapai maqam atau tahap wali-wali ALLAH. Wallahualambissawab.
Redha akan segala pemberiaan dan ketentuan ALLAH ke atas diri maka itulah tandanya bahawa ALLAH telah meredhai kita. Itulah tujuan hidup yang nyata. ALLAH adalah matamatnya dan keredhaan Nya yang dicari. Redha akan kebaikan yang diberi kepada kita dan redha juga dengan keburukan yang ditimpakan kepada kita. Redhalah dalam keadaan berpahala dan dalam keadaan berdosa. Tetaplah pada tempat itu dan mohonlah agar diberi kekuatan kekal dalam perasaan itu.
Maka pada dasarnya, redha itu letaknya dihati. Rasa redha itu apabila tidak berkeluh kesah dan tidak terasa berat apabila ditimpa dengan kemalangan, kecelakaan, berita yang tidak baik atau pun kegagalan. Perkara itu diterima dengan hati yang lapang dan itulah namanya sabar.
Apabila menerima kegembiraan, hati itu tidak begitu riang dan terlalu suka, hanya setakat mengucapkan syukur Alhamdulillah maka itulah yang dinamakan bersyukur.
Teringat saya pesanan salah seorang guru saya, apabila saya meminta nasihat kepadanya tentang dosa-dosa dan kesalahan saya terhadap ALLAH dan makhluk Nya sehingga membuatkan hati saya menderita. Maka dijawabnya, ‘Pujilah ALLAH. Puji sahaja dia mengikut apa yang kau rasa. Nescaya dibukakan pintu keampunan kepadamu.’ Terkesima saya dengan jawapannya itu. Bagaimana bisa saya memuji ALLAH sedangkan sepatutnya saya meminta ampun atas kesalahan dan kesilapan saya.
Setahun kemudian, barulah saya memahami apakah maksudnya itu. Pujilah ALLAH yang telah mengurniakan perasaan bersalah di dalam hati itu. Pujilah ALLAH yang telah menganugerahkan rasa ingin bertaubat itu. Berterima kasihlah kepada Nya kerana Dia sendiri yang telah menyedarkan saya atas kesalahan saya. Maka istighfar itu, saya rasakan sebagai pujian kepada ALLAH. Dan istighfar itu adalah salah satu pujian kepada ALLAH disamping memohon keampunan daripada Nya.
‘Jangan risau atas dosa-dosa mu terhadap makhluk kerana segala makhluk itu ALLAH yang punya. Mohon keampunan Nya nescaya diselesaikan dosa-dosa mu itu terhadap makhluk-makhluk Nya mengikut cara dan ketentuan Nya.’
Juga saya diperingatkan tentang amal ibadat yang berjaya dilakukan adalah kurniaan dari ALLAH semata-mata. Janganlah sombong, riyak dan ujub dengan ibadat-ibadat itu. Bila-bila masa sahaja, ianya akan ditarik balik. Bersyukurlah kerana diberi anugerah beribadat dan kasihanilah mereka yang tidak mendapat anugerah tersebut. Doakanlah mereka dengan rasa kasihan dan kasih sayang, bukannya dengan rasa yang menyombong dan tinggi diri.
Sesungguhnya, rasa sombong itu akan datang tanpa disedari lalu mengubah yang berpahala menjadi dosa. Rasa kehambaan dan rendah diri pula hasil dari pemikiran dan tafakur atas sifat-sifat kebesaran ALLAH kadangkala mengubah dosa menjadi pahala. Rasa itu lah ilmu nya dan rasa itu diuja oleh pemikiran. Selamat berfikir dan bersyukurlah dengan segala-galanya.
ALHAMDULILLAH….
Yey, uncle da update blog balik!
BalasPadamTeruskan menulis, banyak yang sutera nak belajar dgn uncle :)
ada ilmu yang boleh diajar, tapi ada ilmu yang perlu dirasa....
BalasPadam