Khamis, 6 Januari 2011

Ada keindahan dalam kesabaran

Ada keindahan dalam kesabaran.

Apakah keindahan itu? Satu soalan hati yang sangat halus dan suci dalam pernyataan dan pertanyaan  Eyman Haikal di fb. Saya terpanggil untuk menjawabnya lantaran ianya adalah pernyataan yang benar dan pernah saya rasai. Pernah satu ketika, apabila saya mahu diajar oleh Tuhan supaya berhati lembut, lalu ditimpakan ujian yang hebat, sehingga saya mengikat diri dibawah katil supaya tidak bertindakbalas akan ujian yang ditimpakan. Setelah menang seketika dalam pertempuran hebat itu, saya merasa kuat dan hebat. Tetapi perasaan itu diuji lagi dengan ujian yang seterusnya, sehinggalah saya mengaku kalah dan bersalah. Apabila pengakuan itu saya luahkan kepada Nya, barulah saya berasa lapang dan tenang.

Apa yang indahnya? Bagaimana sabar boleh menjadi indah?

1.      Semua Nabi dan para rasul, mula-mula sekali diajar dengan kesabaran. Hanya manusia yang lembut dan halus hatinya mampu bersabar kerana hati yang keras dan kasar umpama batu akan cenderung untuk memberontak.

2.       Sabar ini hanya boleh berlaku apabila ada kelembutan dan kekerasan serentak dihati. Kelembutan itu lantaran memahami hakikat bahawa dia adalah hamba yang tertakluk kepada kehendak dan takdir tuannya. Hatinya bersih dari sifat sombong dan ego. Kekerasan itu pula apabila hatinya teguh mengatakan bahawa ianya adalah takdir dan kehendak ALLAH meskipun ada kena mengena dengan makhluk atau faktor lain lantaran makhluk dan faktor lain itu juga datangnya dari ALLAH.

3.       Amat sukar untuk melatih hati menjadi lembut seperti rumput yang dipukul ribut tetapi pada masa yang sama menjadi batu karang di dasar lautan yang tidak terusik dilanda badai. Itulah unik dan hebatnya hati seorang mukmin sejati. Hatinya ada dua unsur dalam satu tempat, yang keras dan yang lembut.

4.       Lembut dalam memahami fitrah dan psikologi makhluk tetapi teguh dalam menggenggam prinsip dan kebenaran. Apabila ada sifat seperti ini menunjukkan manusia itu secara sedar atau tidak, sudah mengenal hakikat dirinya.

5.       Manusia yang sudah kenal, faham lalu arif mengenai hakikat diri dan Tuhannya, akan kental dalam menghadapi dugaan dan cabaran. Baginya, segala-galanya adalah dari, untuk dan kerana ALLAH. Maka menjadilah dia seorang yang sangat sabar.

6.       Dari gabungan dua perasaan ini maka datangnya sabar. Jadi bagaimana sabar itu boleh indah. Indahnya sabar adalah  
1.       Hati menjadi tunduk dan mengaku siapakah dia.
2.       Apabila berjaya menahan diri dari melakukan perkara yang salah dan tidak sepatutnya.
3.       Apabila Berjaya menghadapi rintangan dan cabaran
4.       Apabila Berjaya mencapai cita-cita dan kehendak yang benar

Hanya yang sabar itu akan berjaya. Berpesan-pesan dengan kesabaran. Berpesan-pesan dengan kebenaran. Kesabaran membawa kejayaan. Itulah keindahannya.

2 ulasan:

  1. Uncle ikat diri bawah katil?

    Suka ayat last uncle ' Berpesan-pesan dengan kesabaran..Berpesan-pesan dengan kebenaran...'

    Sesungguhnya banyak lagi yang perlu dipelajari dan diselongkar oleh hamba yang kerdil ini.

    BalasPadam
  2. sabar itu memang cukup indah bagi yang mengetahui..sabar cukup besar darjatnya hingga di angkat sebagai sebahagian iman...malu itu pakaiannya,ihsan itu jiwanya.

    BalasPadam