Ahad, 10 April 2011

Melayu ku yang lemah

Saya suka mengkaji sejarah walau di zaman menengah atas, saya tidak mengambil matapelajaran sejarah. Asal usulnya saya berminat dengan sejarah sewaktu saya mula mencari dan ingin mengenal diri pada usia 25 tahun dahulu. (Rupa-rupanya, itu adalah peringkat awal kematangan lelaki. Rasulullah menjadi lelaki sebenar diusia 25 tahun apabila baginda bernikah dengan Siti Khadijah) ianya bermula dengan pertanyaan, kenapa aku begini? Kenapa aku ini pemalas? kenapa aku gemar memberontak? kenapa aku tak cenderung kepada akademik? kenapa dan untuk apa aku ini hidup?

Proses pertanyaan itu dinyalakan oleh insiden kematian dua orang pesakit ku di meja bedah secara berturut-turut. lalu bermulalah proses pertanyaan kenapa dan dijawab pula dengan sebabnya adalah sekian-sekian. Saya mula menyalahkan orang lain bermula dari ibu bapa, kerajaan, British dan akhir sekali bangsa melayu. perasaan memberontak itu begitu kuat sehingga saya cenderung untuk berperang. (teringat tempelak Sarjan Ismail kurus, seorang jurulatih saya, apabila saya begitu keras dan kuat mahu berperang seolah-olah mabuk darah, 'kepala kau ni tak boleh diikut. Kau tak tahu betapa buruk dan teruknya perang itu. Alangkah eloknya keadaan yang aman damai ini.') Lalu saya tersedar yang perang itu tidak elok dan buruk tetapi bersedia untuk berperang adalah langkah awal untuk mengelakkan peperangan. (perkara ini saya belajar dari computer game dan game token (risk) yang saya mainkan ketika di Wisma PALAPES dahulu)

Apabila soalan utama saya dijawab oleh seorang pakcik yang tidak saya kenal dan jangka, mengenai untuk apa aku hidup, maka dijawab oleh pakcik itu, 'sesungguhnya, solat ku, ibadatku, hidupku dan matiku, adalah untuk ALLAH, Tuhan sekalian alam', saya tersentak. kenapa sekian lama, saya tidak menyedari perkara itu. (baru-baru ini, saya diberitahu pula tentang maksud Tuhan sekalian alam, MasyaALLAH, hebat sungguh ALLAH) Hati saya begitu lapang sekali. Saya mula menghalusi semula semua jawapan-jawapan saya atas pertanyaan 'kenapa' itu.

Setelah dihalusi, ketetapan yang muncul adalah ibu bapa saya tidak bersalah, kerajaan tidak bersalah, British tidak bersalah dan bangsa melayu tidak bersalah. Yang bersalahnya adalah saya sendiri. Kesemua mereka yang terlibat adalah dibawah ketetapan ALLAH atas mereka. Ibu bapa saya tidak bersalah apabila memberi pendidikan moden dan kebaratan lantaran mereka tidak punya pilihan dan kemampuan. kerajaan ketika itu tidak bersalah lantaran dasar kerajaan adalah dari dasar British yang di melayukan dan mereka tidak mempunyai pilihan dan kemampuan untuk menukarnya lantaran lemah dengan desakan kaum cina dan india. British tidak bersalah kerana sememangnya mereka kuat dan mampu menipu dan menakluk bangsa melayu yang lemah. Dan bangsa melayu tidak bersalah kerana mereka memang mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lemah lantaran itulah yang dijadikan ALLAH ke atas mereka.

Sekiranya, melayu islam malaysia ini kuat dan cerdik, mereka tidak akan ditipu bulat-bulat oleh British, tidak tunduk dan kalah kepada serangan Siam dan mampu untuk memalaysiakan dan menundukkan semua kaum cina dan india di negara kita ini. (ketika ini, apa yang saya terfikir adalah buku Tun Mahathir, 'the malay dillema' yang menjadi kritikan bangsa melayu ketika itu. Saya hanya pernah membelek sekali lalu sahaja buku itu dan tak pernah membacanya sehingga habis. Buku tersebut telah mengkritik dan membuka kelemahan bangsa melayu.) Tujuan saya menuliskan perkara ini adalah untuk sedikit sebanyak membuka pintu fikiran dan akal kepada kita semua, yang kita ini adalah dari bangsa yang lemah, dan sepatutnya kita bersatu dibawah satu persamaan yang kita ada untuk menjadi kuat.

sekarang ini, melayu islam terpecah kepada 4 kelompok sepertimana yang pernah saya ceritakan dalam artikel yang lepas iaitu melayu UMNO, melayu PAS, melayu PKR dan melayu neutral. Melayu PAS dan PKR terlah bergabung untuk menjatuhkan melayu UMNO. Melayu neutral yang terdiri dari kelompok tabligh, tareqat dan badan-badan kerohanian, lebih menumpukan perhatian kepada diri mereka sendiri dan ALLAH. Melayu neutral ini dikutuk dan diperangi oleh melayu PAS manakala melayu UMNO dan PKR, cuba meraih sokongan mereka.

Tidakkah kita dapat lihat, perpecahan ini adalah kerana kuasa pemerintahan dan perbezaan prinsip. Kuasa pemerintahan adalah untuk survival dan penerusan prinsip-prinsip yang diperjuangkan. UMNO dengan melayunya, PAS dengan Islamnya dan PKR dengan keadilannya. sepatutnya, PAS lah yang menjadi peneraju dalam menyatukan hati-hati melayu islam ini dengan berdamai dan mendamaikan sesama islam. Akan tetapi, kelihatannya, mereka lebih cenderung bekerjasama dengan ultra cina untuk menjatuhkan UMNO.

Tidak terlihatkah kita, bagaimana Singapura mempermainkan kita sehingga beberapa pulau jatuh ke tangan mereka,pulau mereka semakin membesar dan menutup selat tebrau, isu air, isu jambatan dan sabotaj tertutup yang mereka lakukan tanpa apa-apa tindakan yang sepatutnya. Tidak terlihatkah kita bagaimana Indonesia, yang menentang penubuhan Malaysia sejak dari awal lagi, telah bertindak mempermainkan maruah negara, mengejek dan menghina kita, menceroboh sempadan dan menangkap rakyat kita, mencetuskan provokasi dengan isu-isu yang remeh dan menggertak kita dengan ancaman perang. Thailand pula telah memberi amaran kepada kita untuk tidak membantu pejuang Pattani, tentera kita pernah dibom di sempadan satu ketika dahulu malah tentera kita yang tersesat pernah ditangkap dan disoal siasat.

Jatuhnya kerajaan islam di Andalusia, kerajaan Bani Umayyah, Abassiyah, Fatimiyah dan Othmaniyah dahulu, adalah kerana perebutan kuasa. Bangkitnya islam adalah dengan penyatuan puak Aus dan Khajraz untuk membentuk puak Ansar di Madinah lalu disatukan pula dengan kelompok Muhajirin dari Mekah untuk membentuk Masyarakat islam yang pelbagai tetapi satu.  Tidakkah kita dapat belajar serba sedikit dari sejarah.

Yang nyatanya, hati-hati pelbagai bangsa, fahaman dan pendapat itu, telah disatukan dengan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMAD RASULULLAH. Dan dengan kalimah keramat itu, jiwa-jiwa mereka bersatu biar apa pun keadaan dan fahaman mereka. Jiwa-jiwa mereka berkasih dan bersaudara kerana ALLAH. Bertolenransilah dengan saudara seagama kita atas nama ALLAH dan sedarlah kita manusia adalah makhluk yang lemah, terutamanya, bangsa melayu yang lemah.


0 ulasan:

Catat Ulasan