Sabtu, 30 April 2011

Perkara yang saya meluat

Saya adalah manusia biasa yang lemah lagi hina. Saya berani mengakuinya dengan terang dan jelas. Salah satu dari kelemahan saya  adalah terkadang gagal meneutralkan hati apabila terlihat atau melihat perkara-perkara yang tidak saya sukai. Satu perkara yang sangat-sangat membuat hati saya meluat adalah apabila melihat wanita yang beruniform tentera. kepada mereka-mereka yang tidak mengetahui atau yang mengetahui tetapi tidak terfikir, mungkin perkara ini atau isu ini adalah biasa dan tidak begitu besar. (Apakah sama orang-orang yang berfikir dengan orang yang tidak berfikir?) Dan saya sudah biasa kalau dituduh chauvinis. Hakikatnya, saya bukan mahu merendahkan wanita, tetapi menyatakan perkara yang sebenar dan hakikat yang nyata, berlandaskan kecerdasan akal, fitrah yang sejahtera dan pemikiran yang sihat melalui cahaya kebenaran Islam.

Terlalu banyak pengalaman saya dengan tentera-tentera wanita ini secara fizikal dan mental selama pembabitan saya dalam alam ketenteraan dari kadet sekolah sehinggalah ke unit infrantri.  Salah satu sebab saya keluar dari tentera adalah untuk memberikan laluan kepada wanita untuk mengambil alih semangat dan potensi saya dalam tentera lantaran tahap menyampah yang teramat tinggi. Dari dulu, kini dan selama-lamanya, tidak dapat saya untuk 'salut' kepada pegawai wanita yg berpangkat lebih tinggi semasa beruniform.

Saya sukar untuk menerima pemimpin yang tidak boleh menjadi imam solat kpd saya waima jadi jemaah masbuk sahaja apatah lagi setelah mengetahui fitrah dan tujuan ALLAH menjadikan wanita pada asalnya. Yang menjadi kepelikan saya adalah orang-orang yang berpengetahuan agama dan hidup dalam agama, tidak dapat melihat fikrah ini malah sebaliknya menyokong kemasukan wanita dalam tentera sedangkan asal puncanya kemasukan wanita dalam tentera adalah dari gelombang feminisme dari barat. Apa yang mat salleh buat, telah diislamkan oleh orang-orang beragama ini lalu dicarikan dalil dan hadis untuk menyokongnya. Sedangkan beribu-ribu tahun sebelum gelombang feminisme ini berlaku, wanita telah dilayan dengan layanan yang tinggi, mulia dan baik oleh tamadun Islam. Sebaliknya, apabila mereka mengislamkan feminisme kepada feminisme islam, wanita islam telah terpaksa dilayan sama seperti lelaki atas alasan persamaan hak. Apakah ini perkara bijak atau bangang sebenarnya?

Kesemua yang saya nyatakan adalah berdasarkan pengalaman sendiri yang nyata.  pengalaman itu 70% nya adalah berkaitan kelemahan dan berunsur negatif, 20% pengalaman neutral dan 10% pengalaman yang positif. berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut telah menguja saya untuk berfikir secara adil dan tenang serta membuat kajian dan pemikiran mengenai perkara itu lalu membuat kesimpulan. Kajian-kajian secara pemikiran yang saya buat adalah berdasarkan psikologi, fitrah semulajadi (fekah), ketauhidan dan tasauf. Pastinya, saya akan membuat kajian berdasarkan pengalaman-pengalaman negatif itu, akan tetapi pengalaman positif dan neutral tetap saya ambil kira.

Saya juga mengambil kira tentang beberapa faktor ke atas diri saya iaitu daripada sifat semulajadi saya, ego lelaki (chauvaunist), semangat juang, kecenderungan pemikiran, falsafah hidup dan keagamaan. Justeru itu, saya tetap mengakui kelemahan saya sebagai manusia biasa, yang gagal untuk mencapai tahap kesedaran standard sepertimana manusia lain dari kelas barat atau berfikiran moden. Saya cenderung kepada pemikiran tauhid dan berakhlak kesufian. Namun, apabila menyedari objektif hidup yang terbaik adalah mati syahid, salah satu platformnya adalah alam ketenteraan.

Alam ketenteraan ini terpecah kepada dua jenis iaitu ketenteraan Islam dan ketenteraan bukan Islam. Objektif utama tentera adalah berjuang sehingga mati dan mati dalam peperangan adalah salah satu kebanggaan. Perbezaannya dengan ketenteraan islam adalah mati berjuang bukan kerana kebanggaan, tetapi semata-mata kerana kecintaan dan pengorbanan kepada ALLAH. Itu adalah perbezaan yang sangat besar dan sukar untuk ditanamkan ke dalam hati manusia. Beza yang nyata antara ketenteraan islam dan bukan islam adalah perasaan berbangga itu.

Tradisi ketenteraan serata dunia adalah dengan menanamkan rasa bangga dengan perkhidmatan mereka. Anggota-anggota disemaikan dengan semangat bangga dengan pasukan, unit dan cawangannya. Bagi pegawai, perasaan bangga itu adalah perlu supaya mereka dapat memimpin dan memberi arahan kepada anggota bawahan mereka.  Apabila seorang wanita memasuki tentera dengan niat untuk berbangga, maka bangganya itu lebih buruk dari seorang lelaki yang memang sudah berfitrah dengan ego yang tinggi.

Bayangkan, sekumpulan tentera lelaki yang dilatih untuk bersifat agresif, ganas dan pantas, gunanya untuk berperang, lalu diletakkan seorang wanita didalamnya, yang hanya ditugaskan sebagai kerani atau apa-apa jawatan yang bukan combat. Kumpulan itu akan huru hara dan menjadi kurang agresif.  Malah akan terjadi persaingan sesama mereka untuk merebut hati si wanita itu, biarpun wanita itu tidak cantik, apatah lagi yang cantik. Kalau yang cantik, mungkin sehingga terjadi pembunuhan sepertimana kisah Qabil dan Habil. Perkara ini memang telah dan sedang berlaku. bukan kepada tentera Malaysia sahaja, malah lebih teruk keadaannya di dalam tentera Amerika dan british.

Satu ketika dulu, dimedan perang moden, pembunuhan ke atas pegawai-pegawai tentera dari kalangan anggota sendiri adalah perkara biasa. Cara pembunuhannya mudah sahaja, buat-buat tertembak dari belakang atau 'ter'baling grenade ke dlm mess atau khemah pegawai. Beratus-ratus pegawai Tentera Amerika telah terbunuh dengan cara itu semasa era perang vietnam lantaran ketidak puasan hati anak-anak buah mereka. perang akan membuat manusia terutamanya tentera menjadi agresif, ganas dan buas. Itu adalah perkara yang berlaku kepada tentera lelaki, bayangkan apa lagi yang boleh dilakukan ke atas tentera wanita terutamanya pegawai-pegawai wanita yang terpaksa berlagak untuk menjaga 'command pemerintahannya'.

Pegawai dan tentera wanita ini bukan sahaja boleh dirogol, dicabul malah dibunuh dalam keganasan dan keagresifan perang oleh pasukan musuh malah oleh anggota-anggota sendiri. Tidak terharukah apabila mendengar, seorang tentera wanita yang bersuami dan beranak 3 dirumah, ditawan musuh? malah lebih mengharu lagi apabila mereka itu dirogol dan didadah untuk mendapatkan maklumat. Bukankah kita pernah terharu dengan kematian dua anggota tentera wanita dalam kemalangan payung terjun dahulu? Sedangkan, sudah berpuluh anggota lelaki yang cedera dan mati dalam pelbagai perkara, tetapi ianya dipandang sudah ajal.

Tidak malukah kita, sebagai masyarakat melayu yang bertamadun, beradat dan beragama, menghantar dan membenarkan wanita-wanita kita berkhidmat dalam angkatan perang atas alasan, mereka juga sama seperti lelaki dan mempunyai kemampuan dan semangat yang sama seperti lelaki? Apakah kita ini kurang pedoman seperti orang-orang barat itu atau kita kurang akal yang sihat untuk berfikir? Tidakkah kita mampu berfikir dengan tenang, bahawa lelaki dan wanita sememangnya tidak sama, tujuan dan fitrah kejadian berbeza serta fungsi dan peranan mereka dalam masyarakat juga berbeza. Adakah ini yang dinamakan chauvinist?

Kalau kesamaan lah yang dicari dan diperjuangkan, kenapa dari segi pakaian tidak diselarikan dan disamaratakan? kenapa tidak disamakan sahaja tandas dan tempat tidur mereka? Yang menjadi mangsa adalah latihan ketenteraan. kelasakan latihan terpaksa disederhanakan untuk menyamaratakan dengan kemampuan fizikal kaum wanita. Maka, anak-anak muda lelaki yang sepatutnya dijadikan pejuang yang lasak, keras, agresif dan ganas, telah diubah kepada tentera muda yang jiwang, sopan, dan control macho, lantaran demi menjaga ego kelelakian dalam pasukannya itu. Mujur latihan ketenteraan Malaysia mengasingkan lelaki dan wanita kecuali latihan pegawai-pegawainya.

Dari segi psikologinya, lelaki cenderung untuk melindungi wanita. Apabila mempunyai wanita di dalam pasukannya, matlamat utama kepimpinan pasukan itu adalah untuk menyelamatkan wanita yang ada dalam pasukannya dari tertawan atau terbunuh. Perkara ini memang telah saya rasai dan lalui sendiri malah saya pernah melakukannya. Mengutamakan keselamatan wanita melebihi dari objektif atau tujuan yang perlu dicapai. Atau adakah tentera sekarang ini telah dilatih psikologinya untuk tidak menghiraukan anggota wanita didalam pasukannya dan menganggap mereka itu sama sahaja dengan lelaki. Jika perkara itu yang berlaku, maka kita boleh dan berupaya mengorbankan anggota wanita untuk tujuan diversion atau pun tinjauan di medan tempur.

Dipihak musuh pula, mengetahui ada nya tentera wanita dalam pasukan yang ditentang akan meningkat moral dan semangat juang mereka. Bayangkan, imbuhannya adalah wanita jika menang dalam pertempuran itu. Wanita itu pula bukan calang-calang, tetapi anggota yang telah terlatih. Sekiranya saya sendiri, apabila mengetahui adanya wanita dalam pasukan musuh, semangat juang saya akan meningkat malah merekalah yang akan menjadi sasaran utama. Begitu juga dari cerita-cerita perang, veteran-veteran tentera kita dari era darurat yang begitu bersemangat bercerita apabila mengetahui adanya wanita dalam gerombolan PKM yang sedang diburu mereka. Ketika bertempur dimedan perang, semangat tempur menyala-nyala, tubuh terasa panas dan bertenaga, kekuatan meningkat, keagresifan bertambah dan keganasan boleh berlaku.

Kerjaya tentera itu adalah kerjaya yang mulia atas dasar mempertahankan hak dan kehormatan sesuatu negara. Dengan dasar mempertahankan hak itu, maka mereka dilatih untuk membunuh. kerjaya tenteralah satu-satunya kerjaya yang mempunyai lesen untuk membunuh ketika perang. Kesimpulan mudahnya, tentera adalah pembunuh. Kalau tidak, tak payahla berlatih menggunakan rifel dan peluru, elok guna cota saja untuk berperang.

Tidak semua manusia mampu membunuh apatah lagi dengan pembunuhan yang mengerikan dengan percikan darah dan bersepai nya organ-organ tubuh. Akan tetapi, itulah hakikatnya peperangan. sedangkan ramai lelaki, mungkin yang telah terlatih menjadi tentera sekalipun, tidak mampu untuk memicit picu untuk membunuh. Wajarkah kita melatih wanita-wanita kita untuk menjadi pembunuh? wanita-wanita yang bakal mengandungkan zuriat-zuriat generasi kita. Kita bukannya bangsa yang agresif dan pandai berperang seperti bangsa eropah, arab atau jepun. Kita adalah bangsa melayu yang penuh dengan kesopanan, kelembutan dan toleransi. Dari dulu sehingga kini, kita selalu kalah, mengelak dan melarikan diri dari peperangan. sedangkan bangsa arab yang ganas dan agresif itu, tidak mahu menjadikan wanita-wanita mereka tentera atas faktor budaya dan agama, kita pula yang mendahului mereka lantaran terikut-ikut dengan cara barat. Adakah dengan menjadikan wanita-wanita kita tentera dan berbangga-bangga dengan mereka akan menjadikan kita bangsa yang agresif dan maju ke hadapan? mampukah mereka membunuh?

Wanita dan lelaki adalah berbeza. Banyak perkara yang tidak boleh dan tidak sesuai dilakukan oleh wanita dalam bidang kerjaya dan begitu juga lelaki. Begitu banyak lagi cabang pilihan kerjaya yang bersesuaian untuk wanita dan memang khusus untuk wanita. Tak perlulah, hanya kerana mahu mencari kesamarataan hak, atau semangat feminisme yang meluap-luap, maka kerjaya tentera yang menjadi pilihan. Juga kepada pihak atasan, tdak perlulah untuk meraih populariti dan sokongan, maka mereka rela melemahkan pasukan tentera negara, semata-mata untuk menjaga hati dan mengikut kata wanita-wanita pejuang feminisme Malaysia yang islam mahupun  yang bukan islam.

Perkara yang saya nyatakan di atas, belum terbukti benar dinegara kita ini lantaran kita tidak pernah dan mahu berperang secara terbuka dengan mana-mana negara. Tetapi ianya telah terbukti didalam pasukan tentera Amerika dan British, yang menjadi idola dan ikutan angkatan tentera kita. Sebelum perkara itu berlaku, adalah lebih baik, untuk kita mencegahnya dari melarat.

p/s: Artikel ini dibuat selepas menyaksikan dokumentari National Geografy,'The singaporean son'. Saya terkesima apabila mendapati, askar-askar kerahan mereka tidak ada anggota wanita sedangkan dalam pasukan simpanan tentera kita, penuh dengan wanita.


4 ulasan:

  1. kenyataan anda "Kita adalah bangsa melayu yang penuh dengan kesopanan, kelembutan dan toleransi. Dari dulu sehingga kini, kita selalu kalah, mengelak dan melarikan diri dari peperangan." dan saya tidak bersetuju bila anda mengatakan melayu selalu mengelak dan melarikan diri dari peperangan. jadi melayu adalah pengecut... anda juga seorang pengecut juga la kalau begitu... mana bukti dan dalil mengatakan yang bangsa melayu sejak dulu selalu kalah, mengelak dan melarikan diri dari peperangan... kini mungkin ye... tapi kenapa nak salahkan nenek moyang kita... bagaimana nak membina tamadun tanpa menghadapi peperangan.. sedangkan kita telah berjaya membina empayar kita sendiri.. contoh melaka... mungkin anda tidak mengkaji sejarah bangsa anda sendiri dengan teliti dan sebab itu merendahkan keupayaan bangsa anda sendiri...

    BalasPadam
  2. terima kasih atas komen...

    1. ya..saya memang pengecut apabila menyuarakan pendapat saya hanya melalui blog dan juga tak mampu menjadi pemimpin besar yang mempunyai legasi sendiri...juga pengecut kerana tak berani mencipta sesuatu yg baru...juga pengecut kerana tak berani meneroka bidang ilmu...dan pengecut yg paling utama, tak berani keluar berjihad berperang dan keluar dari kepompong kemewahan....

    2. Ya...saya memang tak mengkaji sejarah bangsa melayu sebab itulah saya menulis sedemikian rupa...contohnya, sejarah melaka yg dibina oleh anak raja melayu hindu yg melarikan diri dari kerajaan majapahit jawa dari dibunuh oleh abangnya dan membina kerajaan sehingga 115 tahun, lalu ditewaskan oleh portugis dan berundur ke Muar lalu diserang lagi berundur ke pagoh dan diserang lagi lalu berundur ke kota tinggi dan akhirnya...dinasti melayu melaka itu habis apabila sultannya mangkat dijulang...dibunuh oleh panglimanya sendiri...itu belum cerita tentang kerajaan negeri kedah, kelantan, pattani dan terengganu..

    3. bukti dan dalilnya...ada dalam kitab sejarah je...tak jauh...bole rujuk mana-mana kitab...by the way, mana ceritanya kerajaan melayu mengalahkan Siam, British, Portugis, Belanda dan jepun...ada la satu dua cerita kemenangan....dan bukti serta dalil yg nyata, kenapa singapura diperintah oleh org lain dan kenapa pattani dan songkhla berada dibawah takluk siam...

    4. sebab-sebab merendahkan keupayaan bangsa sendiri lantaran kajian yang tidak teliti seperti ini....
    a. untuk muhasabah diri- kita ini bukan datang dari bangsa yg berbaka perang, bijak, keras dan berjaya...
    b. menaikkan semangat juang - jadi bangkitlah utk jadi satu bangsa yg kuat dan utuh jatidirinya
    c. mencari kelemahan untuk memperbaikinya...
    d. mengkritik untuk menyedarkan....

    5. saudari...apabila kita telah dan pernah mengkaji dan belajar sejarah, ketamadunan, sirah nabawiyah,al quran, sejarah islam dan psikologi tasauf, perkara yang kita nampak adalah kelemahan manusia, fitrah kemanusiaan dan sejarah serta salasilah makhluk ciptaan ALLAH...dari ikut turutannya malaikat, jin, manusia, haiwan,tumbuh-tumbuhan, bumi dan langit. Memahami perkara tersebut pastinya kita terserempak dan terfikir, bahawa tamadun sukar dibina tanpa melalui peperangan....malah dlm al quran ditunjukkan cara berperang dan dlm hadis dinyatakan kedamaian dunia ini dengan perang....

    terima kasih atas komen

    BalasPadam
  3. Setiap yang berlaku dalam dunia ini... walaupun teruk, jahat atau buruk sekalipun pasti ada hikmahnya. Zaman sekarang semua orang berlumba-lumba untuk menonjolkan kemampuan diri sehingga melupakan fitrah kejadian. Wanita masuk tentera sudah tidak boleh dibendung kerana lelaki sendiri yang memberi kebenaran. Persoalannya, sejauh mana lelaki yang penuh dengan keegoan berusaha untuk mempertingkatkan kreabiliti sebagai lelaki. Berapa banyak lelaki yang memunasabah diri untuk mengembalikan hak mereka sebagai pemimpin dan pelindung? Mampukah seorang wanita terus mengikuti latihan ketenteraan jika latihan asas tentera sama tahap dengan latihan komando. Sekalipun mampu bukan kerana wanita mempunyai kekuatan dan kehebatan seperti yang dimiliki oleh lelaki tetapi kerana ketabahan seorang wanita. Wanita mampu lakukan apa saja didunia ini atas nama ketabahan. Namun hakikatnya hanya wanita yang bijak tahu dimana dan bila ianya perlu digunakan. Wanita seperti diriwayat dalam hadis dicipta dari tulang rusuk yang paling lembut, kalau dilentur dengan keras dia akan patah tetapi sekiranya dibiarkan akan membengkok. Namun jika dibentuk dengan lembut dan berhemah akan tumbuh tinggi tegak menjadi penyokong yang kukuh dan utuh... Baik wanita mahupun lelaki harus sedar tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Berusaha menambah ilmu dan kreabiliti diri megikut fitrah kejadian. Hidup jangan meminta atau berharap pada insan lain untuk berubah. Tetapi setiap insan itu harus mendidik diri mereka sendiri kerana apa yang kita lihat di dunia ini adalah pantulan dari dalam diri kita sendiri. Dunia berubah bila kita berubah.

    BalasPadam
  4. Terima kasih atas komentar yang bernas dan berhikmah.

    Benar, ramai lelaki skrg semakin lembik, lembut dan menjauhi fitrah asal mereka.Faktor-faktor penyebabnya adalah kemudahan hidup yg sangat hebat, sistem pendidikan yg berbentuk akademik dan tidak mengikut fitrah kelelakian serta keutamaan keagamaan yang hanya menjadi ibadat bukannya teras kehidupan. namun, ianya aturan ALLAH jua...sebagai ujian kepada semua manusia.

    Justeru itu, apabila kita menjadikan Islam sebagai teras kehidupan dari aspek pemikiran sehinggalah kepada perlaksanaan, pastinya kemasukan wanita dalam budaya tentera British yg diislamkan ini, adalah tidak menepati kesyumulan dan kesucian islam walaupun zahirnya seperti sempurna tetapi dari segi hakikatnya bercanggah.

    Saya setuju dan gembira dengan ungkapan, berusaha menambah ilmu dan kredibiliti diri mengikut fitrah. Namun manusia tidak mampu melakukan apa saja didunia waima mempunyai ketabahan sekalipun lantaran, segala apa yg berlaku didunia ini tertakluk kepada kehendak dan aturan ALLAH semata-mata. Malah ketabahan yang ada juga, kurniaan ALLAH jua ke atas sesiapa yg dikehendaki Nya, setakat mana yg dikehendaki Nya.

    Ya benar, wanita bijak yang beragama, adalah seperti rahmat kepada keluarga dan masyarakat, dan janganlah wanita bijak seperti itu diserahkan kepada budaya tentera yg berbau british itu dan dinikahkan dengan kerjaya berbaur pembunuhan.

    BalasPadam