Jumaat, 1 Julai 2011

BERSIH

Saya pernah diperdengarkan dengan amanat dari Al marhum Syeikh Abdullah Nur Muhammad, salah seorang dari salasilah guru saya yang meninggalkan lima nasihatnya kepada anak-anak muridnya dan murid-murid selepasnya. nasihat yang keempat ini, apabila saya mendengarkannya, saya merasakan teramat berat untuk dilakukan. Rupa-rupanya, apabila sudah berzikir dan istiqamah dengannya (walaupun tak mampu berterusan), perkara itu seperti terjadi secara spontan. Nasihatnya adalah, 'Harus menyayangi orang yang membenci kamu'.

Adalah perkara yang teramat sukar untuk menyayangi orang membenci yang saya. Bagaimana bisa saya boleh bersabar dan bertahan dengan serangan akibat kebenciannya.  Selepas diserang, saya terasa seperti mahu membunuhnya. Saya mula merancang untuk melakukan pembalasan yang setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap saya. Walau dinasihatkan ketika itu, hati saya membara dengan dendam dan permbalasan. Atas hidayah dan taufiq ALLAH, maka saya mengalihkan dendam itu kepada zikir. kesannya,  hati saya tidak membenci musuh tersebut tetapi menganggap perbuatannya itu adalah diizinkan oleh ALLAH. Rupa-rupanya, hikmah zikir itu menebalkan kesabaran dan melapangkan dada.

Diketika itu, saya mula terasa, apabila kita membenci seseorang, segala apa yang dilakukan oleh musuh itu akan menjadi seperti satu cabaran. hati kita akan tertutup dengan kebaikan dan kebaktian musuh itu. Hati kita juga tidak mampu untuk bertimbang rasa dan rasional. Katakanlah, hujahkanlah dan buktikanlah apa saja, kita tetap akan merasa bahawa musuh kita itu adalah jahat dan zalim. Sekaligus, kita akan merasakan bahawa kita berada dipihak yang benar dan tertindas. Pernah sehingga saya terfikir, ALLAH juga zalim apabila menjadikan manusia-manusia yang zalim sedangkan ALLAH mampu untuk memadamkan kezaliman itu sekelip mata sahaja. (Astargfirullah) Justeru itu, untuk apakah semua ini?

Semakin jauh perjalanan perasan dan pemikiran itu, semakin terang pula rasanya. Maka zikir jugalah jalan penghurai kekusutan. lama kelamaan, hati saya menjadi kasihan kepada musuh saya kerana kelemahan saya mengakibatkan kebenciannya kepada saya. Naik ke peringkat seterusnya, saya menjadi lembut dan menganggap diri saya yang bersalah dan sewajarnya bertaubat kepada ALLAH. Lalu bermulalah proses taubat tersebut selama bertahun-tahun. Akhirnya, baru-baru ini, dapat saya merasakan bahawa saya mampu menyayangi orang yang membenci saya lantaran hati saya mengakui bahawa musuh saya itu, dikasihi juga oleh ALLAH, diberi rezeki oleh Nya dan telah disediakan jalan kehidupannya yang tersendiri oleh ALLAH. Musuh saya itu adalah ujian yang ALLAH berikan kepada saya untuk mengenal dan mendekati Nya. Alangkah manisnya perasaan itu. Alangkah bersyukurnya kerana mendapat musuh seperti itu yang merapatkan saya dengan ALLAH.

Saya masih lagi tidak menyedari apa yang telah berlaku didalam hati saya ini. ianya berlaku secara perlahan dan beransur-ansur. Sehinggalah timbulnya isu BERSIH, yang dicadangkan oleh kelompok penentang kezaliman yang diketuai oleh Ambiga. Saya tidak mengenali siapa Ambiga itu dan hanya mengenalinya melalui akhbar sahaja. Entah kenapa, melihat saja wajahnya, saya merasakan ada yang tak kena. Berbeza dengan melihat wajah Tuan Guru Nik Aziz atau pun Lim guan Eng. Lantak dialah. kalau terjadi apa-apa yang perlukan jihad atas nama ALLAH yang benar, sememangnya, saya sudah menyiapkan diri untuk itu.

Lalu saya pun tercari-cari, apa itu bersih sebenarnya terutamanya dari konteks hati dan perasaan. Saya diberitahu oleh guru saya bahawa untuk mengetahui kebersihan hati ini ada dua indikator, 1. Apabila kita mampu mengalah ketika mampu menang  2. Apabila kita mampu menerima dipersalahkan sedangkan kita benar.

Awalnya, saya sukar juga menerima kenyataan ini kerana ianya menunjukkan kelemahan dan sifat mengalah. tetapi, apabila teringat sifat dan akhlak Nabi Muhammmad SAW dan juga nabi-nabi yang lain, mereka memang ada sifat tersebut. Itulah sifat mereka yang utama. kenapa mereka bersifat begitu? Kerana mereka memahami kelemahan dan kekurangan manusia dan kerana mereka mampu menyayangi manusia yang membenci mereka.

p/s: Yang paling terbaru, saya mendapati, musuh manusia itu bukanlah musuh saya yang sebenarnya. Syaitan memang mush utama tetapi ada lagi satu yang menjadi musuh yang paling besar buat saya. perlu menang dengan yang itu dulu baru layak untuk memerangi syaitan dan manusia.

wallahualam.
   

2 ulasan:

  1. Kata pujangga perbezaan antara benci dan sayang itu amat tipis sekali. Kata cerdik pandai jika benci pada seseorang... cukuplah dengan hanya membenci perilakunya tetapi bukan orangnya. Sayangilah pelaku itu kerana kejahilan dalam tingkah lakunya. Kata hati hidup terlalu singkat untuk dibazirkan dengan membenci dan memikirkan benda yang dibenci... Kata Tuhan sayang seseorang berpada-pada, bencikan seseorang juga berpada-pada boleh jadi yang dibenci itu membawa kepada kebaikan manakala yang disayang akan merosakkan. Tapi lebih suka percaya kata-kata Tuhan termasuklah hati setiap pemimpin itu ada dalam genggamanNya. Jika elok peribadi rakyatnya maka eloklah pemimpinnya. Jika buruk amalan rakyatnya buruklah pemimpinnya. Dan sesungguhnya Tuhan tidak pernah menzalimi hambaNya. Selagi ada rakyat yang menipu dalam timbangannya selagi itu pemimpin yang zalim akan memerintah. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubahnya telebih dahulu. Yang pasti bertindak itu lebih baik dari bersuara (Action speak louder than words)manakala sebaik-baik tindakkan pula hendaklah dimulai dengan diri sendiri. Namun jika tindakkan yang ingin diambil lebih condong kepada kemusnahan berbanding kebaikan... adalah lebih baik untuk tidak bertindak. Carilah jalan penyelesaian dan bukannya mencanang masalah.

    BalasPadam
  2. terima kasih atas ulasan yg bernas,

    saya tertarik hati dgn ungkapan 'hati pemimpin itu berada dalam genggaman Nya'. Ungkapan ini pernah saya kemukakan kpd seorg fanatik PAS yg dgn sewenang-wenangnya menuduh saya jabariah dan sesat. Mujur juga dia masih boleh bertahan dari mengkafirkan saya. terkedu saya dgn tuduhannya itu. pilu hati apabila menganggap kata-kata yg keluar dari mulutnya itu adalah peringatan dari ALLAH yg saya puja setiap masa.

    Hati manusia ibarat antara dua jari ALLAH. ALLAH yang Maha membolak-balikkan hati.Sehingga Nabi Muhammad saw memberikan doa, 'Ya Muqalibul qulub, sabit kulubana li taatiq', 'wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku untuk taat kpd mu'.

    Nyatanya utk saya, tidak saya peduli dgn hati-hati manusia lain dlm hal tahap kecintaannya kpd ALLAH. saya lebih sibuk merawat dan menguatkan hati saya untuk mencapai kecintaan yang sejati kpd Nya. Itulah tindakan yg perlu saya tempuhi dulu sblm merempuh manusia lain.

    BalasPadam