Isnin, 17 Oktober 2011

Aku ini pencari Tuhan

Aku ini pencari Tuhan
sejak dari masaknya fikiran atas dunia
tega aku meninggalkan keluarga
mudah aku menghabiskan harta
tak gentar dipandang hina
berani ku harungi kesusahan
sehingga wajib aku
meninggalkan diri ku sendiri
demi untuk mencari Tuhan
Tuan Punya Langit dan bumi

Bertemu aku dari orang ke orang
Manusia ke manusia
Syaitan ke syaitan
jin ke jin
hingga ku kenal
siapa orang, siapa manusia, siapa syaitan dan siapa jin

Berjalan aku dari langit ke langit
dari bumi ke bumi
dari laut ke lautan
hingga ku kenal yang mana langit, yang mana bumi dan yang mana lautan

Dipertemukan aku dengan mursyidku
yang kasih dan kasihan kepada ku
Walau tiada ikatan persaudaraan dan kekeluargaan
Kepadanya aku berguru
Lalu ditunjukkan kepada ku jalan dan gurunya
Untuk ku harungi sepertimana laluan yang pernah dilaluinya
Lantas dititipnya aku dengan guru kepada guru ku

Berhadapan pula aku dengan tuan guru
Lalu diajarnya aku
Adab seorang murid
Adab seorang manusia
Adab seorang hamba
Jadilah murid untuk jadi manusia yang baik
Jadilah manusia yang baik untuk jadi seorang hamba
Hamba kepada apa yang dicari
dan hamba apa yang ada di hati
sedangkan aku ini pencari Tuhan
maka ada Tuhan dihati ku
dan Tuhanlah yang ku cari

Berlatihlah aku dengan adab
Lantaran adab adalah teratas selepas akhlak dan selepas ilmu
Berlatihlah aku dengan zikir
Lantaran zikir itu jalan
Untuk dekat dengan tuhan ku

sungguh tidak ku sangka
begitu halus dan tinggi seninya
ilmu mutiara tak ternilai harganya
tak terjangkau akal yang biasa
tak terfikir kecerdikan manusia

maka tenggelamlah aku
ke dasar lautan ilmu
sambil asyik dengan mutiara putih yang aneh dan besar
di telapak tangan ku
sedang aku dijaga dan dikelilingi oleh
ikan-ikan duyung yang cantik jelita

Tidak ku hairan lagi dengan keanehan dan keajaiban
Tidak ku mahu kehebatan dan kekuatan
Lantaran aku sedar siapa diri ku
dan aku tahu siapa diri mu

Tuan guru mursyid
mendidik ku
tentang zikir dan adabnya
tentang maqam dan lathifah
tentang nafi isbat
tentang moroqobah
supaya aku mengenal
Tuhan ku

Di berinya 3 pernyataan
Untuk dicari dalil nyata
Atas pernyataan itu

1. Bahawasanya, ALLAH tiada seumpama sesuatu akan segala sesuatu maupun segala fikiran
2. Dimana saja kamu berhadap, disitu wajah ALLAH
3. Dan Dia berada bersama mu, dimana kamu berada

Buktikan pernytaan itu wahai murid ku
Buktikan dengan nyata dan jelas

Maka berzikirlah aku sebanyak-banyaknya
Berzikirlah aku dari pagi ke petang, dari petang ke pagi
Hingga tak henti-henti zikir
Untuk mencari dalil dan jawapannya

Dengan limpahan rahmat, kasih dan sayang Tuhan
Ditemukan aku dengan jawapannya
Sungguh aku terkejut
Apabila ku ketahui
Dalil nyata maujudnya Tuhan ku adalah ...........

Menangis dan meleleh air mata jantanku
Sepanjang perjalanan singkat ku itu
Walau dengan bangga dalam tawadhuknya
Aku menemui jawapan yang terbaik
Dan telah diistiharkan dalam majlis tercantik

'Kamu sekarang adalah Naqsyabandi'
Si Sufi, Pencari Tuhan.


Semoga dilimpahkan barokah dan rahmat yang tak terhingga kepada sekalian guru-guru ku yang tercinta, hingga termuroqobahlah makhluk ini,
dari orang menjadi manusia,
dalam perjalanan menjadi manusia paling berguna
semoga sampai dan teriktiraf sebagai hamba Tuhan.

Al fatehah untuk sekalian guru-guru ku.









0 ulasan:

Catat Ulasan