Aku menganggap kematian sebagai suatu fitrah atau kebiasaan yang wajib dilalui oleh semua makhluk. Kematian adalah seperti sebuah pintu kepada dimensi atau alam yang lebih nyata dan panjang. Justeru itu, aku telah membiasakan diri dengan kematian dan menyiapkan diri serta hati untuk berdepan dengan kematian ku sendiri.
Setakat hidup ku ini, aku telah membantu menyempurnakan 4 buah kematian sebagai penggali kubur, penyambut mayat, pemandi mayat dan pengendali jenazah. Aku juga telah berdepan dengan banyak kematian pesakit-pesakit ku dan juga makhluk-makhluk yang lain.
Kali pertama aku mengurus jenazah adalah sewaktu aku berusia 21 tahun. Aku telah diajak menggali kubur kepada seorrang jenazah wanita tua yang tidak aku kenali. Kami menggali lubang kubur tersebut dan ianya bertakung dengan air walaupun dalam keadaan berbatu. Ianya tidak menghairankan aku kerana ketika itu jiwa ku penuh dengan keinginan adventure dan kelainan. Ketika kami sibuk menggali, jenazah telah pun tiba dan jemaah di atas menyuruh kami terus menyambut mayat, Itulah kali pertama aku menyambut mayat diliang lahat.
Jenazah kedua yang ku kebumikan adalah arwah Pak Mertua ku sendiri. Sewaktu beliau sedang sakit akibat Chronic Heart Failure ataupun jantung takde Harapan, arwah tinggal dirumahku dan aku sedaya upaya menguruskan arwah sewaktu dia terlantar di hospital tempat aku bekerja. Aku merasa begitu lemah dan tidak berdaya lantaran aku bertugas di bidang pembedahan jantung akan tetapi sakit jantung mertua ku sendiri, tak dapat ku bantu lantaran, arwah hanya boleh diselamatkan dengan penukaran jantung dan ketika itu, transplant jantung masih baru di Malaysia dan hanya boleh dilakukan di IJN. Arwah, ku dapati meninggal dunia dipagi hari jumaat ketika aku sedang bersiap untuk pergi bekerja dan melakukan pintasan jantung manusia lain. Itulah kali pertama aku berdepan dengan kematian secara berdepan, saudara terdekat ku selain dari arwah pakcik ku di usia 14 tahun dahulu.
Aku mengambil cuti kecemasan dan mengurus jenazah dari memandikan, mengapan, membawa pulang ke kampung dan memasukkannya ke liang lahat. Satu perkara yang menggembirakan aku ketika itu adalah jenazah mertua ku disolatkan oleh ramai jemaah masjid selepas solat jumaat lantaran sebaik saja tamat solat jumaat, hujan turun dengan selebat-lebatnya yang membuatkan ramai jemaah terperangkap dan tidak dapat keluar. Aku belajar merasai sendiri tentang adat bidaah kematian yang membawa kepada pemberontakan jiwa berkaitan kenduri arwah. Selama 10 tahun aku tidak makan makanan kenduri arwah lantaran aku menganggap ianya sebagai sesuatu yang tidak wajar dan memakan harta anak yatim. Bagaimana mungkin kita boleh makan dengan sedap dan nikmat disaat keluarga arwah sedang berdukacita dengan kehilangan orang yang dikasihi mereka. Itulah pendapat ku ketika itu.
Jenazah yang ketiga adalah jenazah pakcik ku. Aku ikut membantu memandi dan mengapankan jenazahnya lalu terjun ke liang lahat untuk menyambutnya. Kemudian, sewaktu kenduri arwah pakcik ku itu, aku menahan diri dari makan makanan kenduri arwah meskipun dijamu dengan hidangan yang lazat dan menyelerakan. Apabila makcik ku mengatakan yang dia kecil hati sekiranya aku tidak menjamah hidangan lantaran kami sendiri yang berhempas pulas memasaknya, maka aku mengubah prinsip ku. Yang pergi tak boleh nak makan, maka yang hidup boleh makan. Makan sajalah…lalu aku makan sepuas-puasnya. Sejak itu, aku akan makan seenak-enaknya segala makanan kenduri arwah yang disajikan atas alasan kasihan pada tuan rumah yang bertungkus lumus menyediakan hidangan. Sekurang-kurangnya, makanan yang ku makan itu mudah-mudahan mendatangkan pahala kepada arwah lantaran aku ini orang yang berzikir.
Jenazah keempat adalah arwah nenek ku iaitu mak kepada bapak ku. Nenek ku adalah seorang yang waraq dan solehah meskipun beliau bukan seorang yang alim. Arwah akan mengamalkan apa saja yang dipelajarinya berkaitan ibadat dan istiqamah dengannya sehingga akhir hayatnya. Itulah sebaik-baik ibadat dan amalan. Aku ikut membantu mengurus jenazah dan sewaktu menyambut jenazahnya ke liang lahat, aku memegang bahagian kepala. Aku yang membuka ikatan kapan di mukanya dan mengenakan wajahnya dengan tanah. Sewaktu itu aku berbisik kepada nya, ‘Atok, inilah tempat rehat yang sebenarnya. Semoga atok mendapat tempat rehat yang lapang dan bercahaya.’
Ramai pesakit yang mati dihadapan ku dalam keadaan berdarah atau pun tidak. Aku sudah tidak menghitungnya lagi lantaran ianya sudah menjadi perkara biasa dalam karier dan hidup ku. Pernah seorang pesakit mati betul-betul ditelapak jari ku sewaktu aku sedang membuat CPR ke atasnya. Sedang aku asyik berCPR, cardiologist menyuruh aku berhenti dan mengatakan pesakit sudah mati. ‘let him go’ katanya. Aku pun turun dari katil, membasuh tangan dan keluar makan tengahari dengan lazatnya. Maklumlah lapar sebab baru lepas kerja berat. Aku masih ingat lauk makan tengahari itu iaitu ikan kembung goring, sambal belacan, kangkung goring belacan dan kuah asam pedas. Memang aku makan tak menoleh dan tak teringat pun pasal kematian yang baru sebentar tadi aku lihat.
Kematian adalah perkara biasa yang tidak perlu ditakuti tetapi perlu dibuat persiapan. Malah aku pernah mencuba untuk merasa mencari pintu kematian seperti terjun paracut, melompat dari pokok yang tinggi, terjun di air terjun yang tinggi dan menghisap rokok (masih kekal sebagai satu jalan). Rasanya adalah ‘adrenaline rush’ yang mengecutkan perut. Sewaktu pintu kematian dibuka, kita akan rasa kecut dan sejuk kerana kita akan masuk ke sebuah tempat baru. Ibarat ketika aku mahu berhijrah ke Qatar ini dengan meninggalkan keluarga dan memulakan hidup baru dengan persekitaran baru, ianya mengecutkan perut dengan cabaran yang tidak ku duga.
Justeru itu, sejak aku mula mengenal kematian, aku berusaha untuk mencapai sebuah kematian yang indah untuk ku. Kematian yang membawa kegembiraan kepada diriku meskipun membawa kesedihan kepada keluarga ku. Keluargaku itu sendiri akan berdepan dengan kematian masing-masing. Ketika itu tiada siapa yang berada disamping walau ibu atau isteri yang amat menyayangi ku sekalipun, tidak dapat ikut serta. Kita akan ke liang lahat dalam keadaan berseorangan.
Makanya, aku mula berlatih untuk berseorangan. Aku mencari perlindungan dan kekuatan jiwa ketika berseorangan dan ketika ketakutan. Aku mendapat inspirasi dari al quran iaitu dari surah Al ikhlas, An Naas dan Al falaq. Lantas aku memegang kuat iktikad bahawa LAA ILAHA ILLALLAH dengan sefahamnya dan keyakinannya, akan membawa kepada kematian terindah tidak kiralah apa jua perbuatan ku di dunia ini.
Aku bercita-cita untuk menjadi seorang penggali kubur sekiranya masih kuat atau pengurus jenazah sebaik sahaja hutang-hutang ku diselesaikan dan aku menjadi seorang lelaki yang bebas merdeka. Setidak-tidaknya, aku dapat dekat dengan kematian dan membantu manusia lain. Aku juga dapat berseorangan dalam masyarakat dan dapat bermasyarakat dalam berseorangan.
Carilah jalan untuk faham dengan sefaham-fahamnya dan yakin dengan seyakin-yakinnya, kalimah keramat LAA ILAHA ILLALLAH. Jadikanlah ia, objektif hidup baru anda.
Assalamualaikum,
BalasPadamsekadar ingin pendapat... apa nasihat saudara pada anak muda sekarang terutamanya yang baru lepas belajar? Maksudnya kebanyakan ibubapa harap anak mereka dapat kerja tetap dan beli kereta serta rumah. Kerja mungkin tiada masalah, cuma bab beli kereta dan rumah secara hutang? Rasa macam tak perlu kalau sampai nak berhutang. Tak faham kenapa perlu beli dan berhutang kemudian susah kerja semata-mata untuk bayar hutang...
Alhamdulillah…
Padamsaudara telah dikurniakan dengan sedikit kefahaman tentang dunia sedangkan ramai yang tak sedar langsung sedang ditipu oleh dunia. Beruntung saudara kerana masih muda dan menyedari perkara ini sedangkan saya, apabila sudah terbelit baru sedar. Saya melihat, hidup ini ada dua. Senang atau susah. Kalau mahu senang kena ikut dengan aturan hidup yang telah ditetapkan oleh syaitan melalui proses penghambaan system perbankan. Kalau tak mau ikut dan larikan diri dari sistem penghambaan ini perlu hidup dalam kepayahan. Siapa yang nak susah. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin sekalipun, berfikiran seperti itu melainkan sesiapa yang diselamatkan oleh ALLAH. Kalau tidak, terpaksa melawan arus dan menentang mereka semua. Kesimpulannya, untuk melakukan perkara itu perlu berjuang menentang nafsu sendiri dan juga segala perangkap syaitan yang telah disediakan untuk hidup.
Nasihat saya,
1. Cari objektif hidup yang tepat lagi benar dan pegang kuat-kuat
2. Dengan keazaman itu, lawan arus dgn tidak meminjam dan berjimat cermat.
3. Cuba bagi kefahaman kepada ibu bapa tentang penghambaan syaitan dan penjara nafsu.
4. Bertahan dengan menyertai jemaah untuk mendapat bantuan kewangan dan juga semangat.
Selamat berjuang…